Perihal tandas bersih, menarik dan yang jelik

Paris mempunyai rangkaian tandas awam selenggara sendiri yang terkemuka di dunia dipanggil sanisettes.
Paris mempunyai rangkaian tandas awam selenggara sendiri yang terkemuka di dunia dipanggil sanisettes.
A
A
A

TANDAS awam merupakan fasiliti penting yang berperanan melengkapi keperluan sanitasi manusia selain infrastruktur kritikal untuk menjaga kesihatan awam dan kebersihan sesebuah lokaliti.

Ketiadaan tandas awam yang berfungsi dengan baik menyukarkan kehidupan seharian malah boleh mendorong perbuatan tidak bermoral seperti membuang air kecil dan air besar sesuka hati di merata tempat.

Buktinya, insiden ‘melepas hajat’ di tempat terbuka sering kita dengar berlaku di negara seperti India yang sejak sekian lama berdepan isu kekurangan tandas awam selain tandas yang daif disebabkan tiada penyelenggaraan rapi.

Namun di sebalik krisis tandas awam seperti di India, masih terdapat beberapa negara dengan kualiti tandas awam yang baik dan boleh dipuji tahap kebersihannya.

Malah jangan terkejut jika ada juga tandas awam yang menjadi tumpuan pengunjung disebabkan keunikan tersendiri.

Berikut antara negara dengan sistem tandas awam bersih dan yang bermasalah.

*TANDAS BERSIH

1. Jepun

Artikel Berkaitan:

Menyebut tentang tandas awam di Jepun pasti akan dikaitkan dengan faktor kebersihan dan kecanggihan teknologi malah ia sering mengungguli ranking tandas awam terbersih di dunia.

Dinding kaca pada tandas awam lutsinar di Jepun akan bertukar legap apabila sedang digunakan.
Dinding kaca pada tandas awam lutsinar di Jepun akan bertukar legap apabila sedang digunakan.

Tandas awam di negara matahari terbit itu juga dilengkapi pelbagai ‘keistimewaan’ seperti boleh memainkan muzik bagi ‘melenyapkan’ bunyi tidak enak ketika menggunakan tandas, dan terdapat juga tandas awam lutsinar yang bertukar menjadi legap apabila digunakan.

2. Norway

Di sepanjang Norwegian Scenic Routes yang terdiri daripada 18 laluan alternatif (bagi jalan utama) merentasi pelbagai landskap menakjubkan, terdapat tandas awam dengan rekaan menarik yang seakan ‘sebati’ dengan alam sekitar dan sering menjadi tumpuan pengunjung.

3. New Zealand

Antara tandas awam yang terkenal di negara ini diberi nama jolokan Lobster Loo, ia pernah dinobat tandas ketiga terbaik di dunia oleh laman web Design Curial pada tahun 2014.

Terdapat juga tandas awam Hundertwasser di Kawakawa dan Matakana Toilets di Matakana yang sering dilawati pengunjung kerana rekaan yang menarik.

4. China

Situasi tandas awam di China mengalami kemajuan signifikan dalam tempoh beberapa dekad, kerajaan juga aktif memperbaiki standard sanitasi awam antaranya dengan pelancaran kempen ‘Revolusi Tandas’ oleh Presiden Xi Jinping pada tahun 2015.

Di bandar besar seperti Beijing dan Shanghai, tandas awam diselenggara dengan baik, mudah didapati dan kebanyakannya mempunyai kemudahan moden.

5. Perancis

Paris mempunyai rangkaian tandas awam selenggara sendiri yang terkemuka di dunia dipanggil sanisettes dan untuk menambah baik perkhidmatan ini, sebanyak 435 fasiliti baharu yang lebih bersih, selesa dan mesra alam akan disediakan menjelang tahun 2025.

Tandas awam baharu ini mempunyai kubikel utama yang besar dan pancuran air dengan sabun serta kubikel kedua untuk membuang air kecil. Ia akan dibersihkan dan dinyahjangkit setiap kali selepas penggunaan.

6. Switzerland

Switzerland juga boleh berbangga dengan tandas awam yang mudah untuk diakses dan dilengkapi kemudahan untuk orang ramai termasuk orang kurang upaya (OKU), ia juga banyak didapati terutama di kawasan bandar dan lokasi tumpuan pelancong selain trek mendaki dan pusat rekreasi.

*TANDAS BERMASALAH

1. India

Pada tahun 2014, Perdana Menteri, Narendra Modi melancarkan misi Swachh Bharat atau Clean India bagi mengatasi masalah kekurangan tandas awam yang serius di negara itu.

Ia sekaligus merupakan usaha untuk menghentikan tabiat buruk rakyatnya membuang air besar di tempat awam yang boleh menyebabkan penyebaran pelbagai penyakit seperti taun dan kepialu.

2. Britain

Sekitar 1880-an menyaksikan banyak tandas awam dibina serata bandar di United Kingdom (UK) namun kini keadaannya berbeza.

Setiap minggu ada sahaja berita tentang penutupan tandas awam, dan jika berterusan negara itu bakal kehilangan lebih separuh tandas awam menjelang tahun 2050.

Dilaporkan punca tandas awam di seluruh UK semakin banyak ditutup adalah disebabkan kekurangan dana akibat pemotongan bajet pihak berkuasa tempatan.

3. Jerman

Kajian German Toilet Organisation mendedahkan separuh daripada pelajar sekolah Jerman mengatakan tandas di sekolah menjijikkan sehingga mereka sanggup menahan diri daripada membuang air kecil.

Tindakan diambil bagi mengatasi masalah berkenaan antaranya mencantikkan tandas dan menyediakan lebih banyak kemudahan untuk keselesaan pelajar.

4. Bangladesh

Kekangan kewangan, kekurangan penyelenggaraan dan kesedaran tidak mencukupi tentang amalan kebersihan antara cabaran menambah baik tandas awam di Bangladesh.

Akses kepada tandas awam seringkali terhad terutama di bandar kecil dan kawasan pedalaman ditambah pelbagai masalah seperti bekalan air tidak mencukupi dan pengurusan sisa yang lemah di mana ia boleh menyumbang kepada keadaan tandas awam yang kotor sekali gus membahayakan kesihatan awam.

Masalah bekalan air tidak mencukupi dan pengurusan sisa yang lemah antara punca tandas awam di Bangladesh berada dalam keadaan daif.
Masalah bekalan air tidak mencukupi dan pengurusan sisa yang lemah antara punca tandas awam di Bangladesh berada dalam keadaan daif.

Kerajaan dan NGO cuba menangani isu tersebut menerusi inisiatif seperti Strategi Sanitasi Nasional yang menumpukan penambahbaikan infrastruktur sanitasi, menggalakkan kebersihan, dan membina tandas awam yang lebih mudah diakses dan bersih.

5. Amerika Syarikat (AS)

Walaupun bergelar negara maju namun AS mempunyai ranking rendah untuk akses kepada tandas awam, sebuah laporan pada tahun 2021 oleh QS Bathrooms Supplies mendapati AS hanya mempunyai lapan tandas awam untuk setiap 100,000 orang.

Di bandar New York hanya ada separuh jumlah tersebut manakala di San Francisco jumlahnya adalah 26 tandas awam untuk 100,000 orang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!