Pilgub Jakarta: Mengapa bukan Anies Baswedan?

Tunjuk perasaan di Indonesia, bantah semakan undang-undang baharu pilihan raya.
Tunjuk perasaan di Indonesia, bantah semakan undang-undang baharu pilihan raya.
A
A
A

CALON-CALON Pilihan Raya Gabenur (Pilgub) untuk Jakarta telah pun mendaftarkan diri. Komisi Pemilihan Umum (KPU) mengisytiharkan tiga pasangan calon (paslon) untuk gabenur dan wakil gabenur.

Paslon pertama adalah Ridwan Kamil dan Suswono yang 'diusung' oleh 14 parti politik (parpol) termasuk Gerindra (yang diketuai oleh presiden terpilih, Prabowo Subianto). Pramono Anung dan Rano Karno dicadangkan oleh PDI-P dan Hanura.

Paslon yang lain, Dharma Pongrekun dan Kun Wardana dianggap calon bebas.

Berbeza dengan kita, pemilihan kepala daerah dan wakil kepala daerah (pilkada) yang terdiri daripada gabenur, bupati dan wali kota dilantik secara langsung oleh rakyat.

Pilkada 2024 ini nampaknya lebih panas, menarik dan penuh tanda tanya disebabkan apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) pada Februari lalu. Pilkada Indonesia akan berlangsung pada 27 November 2024.

Pilpres 2024 dianggap paling brutal, kotor dan korup. Pembabitan pihak 'istana' (dibaca: Presiden) menyebabkan banyak kontroversi.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) dikatakan terbabit langsung untuk memenangkan Prabowo yang membawa anaknya, Gibran Rakabuming Raka sebagai timbalannya.

Jentera kerajaan digunakan sepenuhnya untuk tujuan itu. Oleh sebab itu, kedua-dua pasangan calon (paslon) Pilpres yang tewas membawa bantahan mereka ke Mahkamah Konstitusi (MK).

Artikel Berkaitan:

Dari awal lagi sudah timbul kontroversi apabila MK memutuskan untuk menurunkan usia calon presiden (capres) dan calon wakil presiden (cawapres) bagi memberi peluang kepada Gibran yang belum cukup 40 tahun seperti yang dituntut oleh undang-undang. Ketua MK adalah adik ipar Jokowi dan bapa saudara Gibran.

Sikap 'cawe-cawe' Jokowi untuk campur tangan mendapat kritikan banyak pihak. Dalam pilkada yang bakal berlangsung November ini, sekali lagi ada usaha untuk memberi peluang kepada anaknya, Kaesang Pangarep untuk ikut serta. Kaesang baru berusia 29 tahun tujuh bulan pada hari terakhir pencalonan.

MK mempertahankan keputusan untuk mengekalkan batas usia. Tetapi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) mengadakan sidang khas untuk menilai semula keputusan MK.

Mereka mahu membuat semakan bagi membolehkan seseorang calon berusia 30 tahun pada hari perlantikan bukan tarikh penamaan calon.

Tindakan ini menyebabkan ribuan pelajar dan rakyat mengadakan demonstrasi besar-besaran di beberapa buah kota utama Indonesia. Akibat desakan itu, DPR memutuskan untuk tidak membuat semakan keputusan MK.

Besar kemungkinan sekiranya lulus, Kaesang akan dicalonkan sebagai gabenur atau wakil gabenur di Jakarta atau di Jawa Tengah.

Maka ini sekali lagi membuktikan bahawa Jokowi tidak memperdulikan kekecewaan dan kemarahan rakyat. Beliau tetap mencuba untuk melepaskan Kaesang melalui DPR.

Satu lagi keputusan penting MK adalah menurunkan ambang batas pencalonan kepala daerah dari 25 peratus (%) hasil suara pemilu atau 20% perolehan kerusi Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) menjadi 7.5%.

Dengan cara itu, ia memberi peluang kepada calon dari parti-parti kecil atau yang independen untuk turut terlibat.

Menurut MK, keputusan ini bertujuan untuk menciptakan sistem pemilihan yang lebih inklusif dan demokratis.

No Image Caption

Walaupun pendaftaran untuk Pilgub Jakarta sudah muktamad tetapi paling banyak dibahaskan 'di manakah Anies Baswedan'.

Nama Anies sejak awal muncul sebagai bakal calon. Tetapi Nasdem, PKB dan PKS yang 'mengusung' beliau dalam pilpres kini menjadi sebahagian daripada Koalisi Indonesia Maju – Plus (KIM-Plus).

“Plus” di situ bermaksud parti-parti yang sewaktu Pilpres tidak bersama Prabowo kini menjadi sebahagian dari gabungan itu.

Bagi membolehkan Anies bertanding semula sebagai Gabenur Jakarta (beliau pernah menjadi gabenur dari 2017 hingga 2022), beliau perlukan dokongan parti lain.

Maka itu ada cakap-cakap bahawa Anies akan didukung oleh PDI-P, satu-satunya parti yang terkeluar dari orbit gabungan yang bakal menyertai kerajaan Prabowo.

Memang Anies paling popular di antara calon yang bakal bertanding. Namun tidak mudah bagi ketua umum (ketum) PDI-P, Megawati Sukarnoputri untuk mendukung “orang luar” seperti Anies. Ini bukan isu untuk menang sahaja.

Megawati harus mempertimbangkan bahawa Anies pernah melawan calon PDI-P yakni Ganjar Pranowo dan pasangannya, Mahfud MD sewaktu di Pilpres.

Dalam lengkungan PDI-P juga, ada Basuki Thahaya Purnama (Ahok) yang pernah bertarung melawan Anies di Jakarta pada tahun 2017. Nama Ahok juga pernah diapungkan kali ini.

Saya lebih percaya salah satu kekhuatiran Megawati untuk mencalonkan “bukan kader” seperti Anies adalah pengalamannya dengan Jokowi.

PDI-P mengusung Jokowi sejak dari Solo. Kemudiannya beliau bertanding jawatan gabenur Jakarta. Demikian popularnya, Jokowi hingga PDI-P menyokongnya untuk Pilpres 2014. Jokowi menang dan dipilih semula empat tahun kemudian.

Apa yang berlaku kepada Jokowi? Bagi Megawati, Jokowi mengkhianati diri dan partinya. Megawati mengorbankan calon -calonnya sendiri untuk memberi ruang pada Jokowi. Tetapi Jokowi mengenepikan PDI-P untuk Pilpres 2024.

Pada waktu yang sama, Megawati harus juga mengambil kira 'hubungannya' dengan Jokowi dan Prabowo. Bagi mereka berdua, prinsipnya jelas, “Siapa saja asalkan bukan Anies.”

Maka itu, Megawati mengambil keputusan untuk mencalonkan ahlinya sendiri, Pramono walaupun ada kalangan pimpinan utama dalam PDI-P yang mahukan Anies.

Wakilnya adalah pelakon dan penyanyi terkenal satu masa dulu, Rano Karno. Pramono mungkin tidak begitu dikenal berbanding Anies atau Ahok tetapi beliau adalah Setiausaha Kabinet bagi Jokowi.

Pramono adalah orang yang menjadi jambatan sekiranya mana-mana pihak bermasalah. Jokowi sendiri mengakui bahawa Pramono bersifat profesional dalam menjalankan tugasnya walaupun partinya tidak menyenangi Jokowi.

Ada juga berita terakhir untuk mencalonkan Anies sebagai gabenur Jawa Barat, namun itu tidak berlaku.

Mungkin bagi Jokowi, Prabowo dan Megawati, memberikan peluang untuk Anies kembali berkuasa di Jakarta, akan memperkuat semula kedudukannya untuk bertanding dalam Pilpres 2029 kelak.

* Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau berada di Pulau Jawa sewaktu Pilpres 2024 bulan Februari lalu dan banyak menulis tentang politik Indonesia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!