Pentas komuniti MTB tawan Cameron Highlands
KEJUARAAN basikal bukit (MTB) Jamboree 2024 kembali menguji fizikal dan mental peserta dalam mengharungi jarak perlumbaan sejauh 30 hingga 40 kilometer sekitar Cameron Highlands apabila menyingkap tirai 7 September ini.
Menurut penganjur, Persatuan Berbasikal Daerah Lipis menyasarkan penyertaan sekitar 500 peserta dari dalam negeri dan luar negeri bagi memeriahkan saingan kali ini.
"Antara cabaran akan dilalui termasuk jalan bertar, jalan hutan, laluan bukit-bukau, kebun sayur, ladang-ladang teh dan paling menarik menelusuri kebun ‘Water Crest’ atau Selada Air.
"Terdapat lapan kategori dipertandingkan antaranya Kategori Lelaki Junior 14 hingga 18 tahun; Terbuka Lelaki 19 hingga 34 tahun; Junior Master Lelaki 35 hingga 44 tahun; Senior Master Lelaki 45 hingga 54 tahun dan Master Lelaki 54 tahun ke atas.
"Penglibatan golongan wanita juga turut dibarakan apabila dipertandingkan dua kategori iaitu Terbuka Wanita Bawah 35 tahun dan Master Wanita 35 tahun ke atas.
"Bagi peserta-peserta berfizikal besar juga turut berpeluang bersaing dalam Kategori Heavyweight 90 kilogram (kg) ke atas," kata penganjur.
Penganjuran mendapat sokongan Kerajaan Pahang, Tourism Malaysia dan swasta seiring Cuti-Cuti Malaysia yang dipromosikan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya.
Penyertaan masih dibuka sehingga 6 September ini dengan yuran penyertaan RM50 dikenakan bagi setiap kategori. Untuk makluman lanjut boleh berhubung di talian 013-2242670 (waktu pejabat) atau boleh mendaftar dipautan www.bikeawaycom.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!