Osimhen paling 'tersakiti'
PENGARAH Sukan Napoli, Giovanni Manna mendedahkan bahawa Victor Osimhen telah menjelaskan bahawa dia tidak mahu bermain untuk kelab Itali itu lagi.
Osimhen gagal menyertai pasukan baharu pada hari terakhir jendela perpindahan pemain.
Chelsea dan kelab Liga Pro Arab Saudi, Al-Ahli telah berusaha untuk menandatangani Osimhen tetapi perpindahan tersebut terbatal.
Napoli pada Sabtu telah mengecualikan Osimhen dari skuad Serie A mereka dan menarik balik nombor sembilan yang digunakan pemain antarabangsa Nigeria itu.
“Situasinya sangat jelas, ia telah jelas sejak akhir musim lalu.
“Victor menyatakan keinginan mutlaknya untuk tidak kekal di Napoli, untuk tidak bermain untuk Napoli, dan kami cuba untuk membuatnya gembira.
“Kemudian ada permintaan dan tawaran, kami fikir kami telah menyelesaikan rundingan, tetapi kemudian ia tidak berjaya.
“Kami membeli Lukaku, mengekalkan Raspadori dan Simeone, yang tidak boleh dianggap remeh,” kata Manna kepada DAZN.
Masa depan Osimhen masih belum jelas pada masa ini tetapi dia mungkin berhijrah ke Arab Saudi memandangkan jendela perpindahan di negara Asia itu masih dibuka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!