Misteri lantai rumah panas, bau telur busuk
LUBUKPAKAM - Penduduk di perkampungan ini gempar dengan fenomena luar biasa di kawasan penempatan mereka.
Ia gara-gara lantai rumah milik seorang warga Desa Sugiharjo, Kecamatan Batang Kuis, Kabupaten Deli Serdang dikatakan 'panas' sejak beberapa minggu lalu.
Menurut pemilik rumah itu yang berada di Dusun IV, Asdun Lumbanbatu, 40, dia juga kadangkala terganggu dengan bau menyengat belerang (sulfur) yang seakan-akan telur busuk.
Ketika kunjungan wakil Tribun Medan pada Sabtu, lantai rumah tersebut dikatakan masih panas walaupun masih pagi.
"Ia akan jadi lebih panas pada waktu malam. Saya tidak tahu apa puncanya kerana sudah hampir sebulan keadaan ini berlaku," katanya yang turut menunjukkan dua sumber mata air panas berhampiran halaman rumahnya.
Sementara itu, jirannya, Boru Aritonang juga menyatakan dia berasa pelik dengan kejadian itu.
"Kami masih bingung kerana tidak tahu apa sebenarnya yang ada di bawah permukaan lantai tersebut.
"Semalam lantai itu lebih panas dan tidak boleh dipijak," ujarnya.
Susulan aduan yang diterima, pegawai daerah kecil Batang Kuis, Romi Surya Dharma mengesahkan beliau sudah melawat ke lokasi tersebut pada Rabu lalu.
"Selain berasa haba panas, terdapat juga bau seperti belerang.
"Kami telah meminta pemilik rumah itu dan jiran tetangga supaya mengelakkan sebarang aktiviti melibatkan sumber api di kawasan itu," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!