Tutup lampu suruh anak tidur, ibu bapa layan main TikTok
MEDIA sosial memang melekakan. Jika terlalu asyik, tak sedar rupa-rupanya dua atau tiga jam boleh berlalu.
Begitulah asyiknya layan segala jenis video yang ada di TikTok atau pun mana-mana media sosial yang ada video. Bukan budak-budak sahaja yang layan, orang tua pun sama juga.
Cerita fasal video di TikTok ini (kebetulan kejadian kerana TikTok), ada kalangan mak bapak yang beri kebenaran anak-anak layan TikTok sekejap selepas buat kerja sekolah sebelum masuk waktu tidur.
Tengok sekejap tak apa tapi kalau dah sampai buat kerja sekolah ‘cincai’ sebab nak cepat siap dan lepas tu boleh pula tengok TikTok sampai terkelip-kelip mata menahan mengantuk, memang nak kena cubit la kan.
Namun, ada juga kalangan mak bapak yang tak bagi tengok langsung. Selepas solat Isyak, buat kerja sekolah dan kemudian suruh anak-anak tidur cepat supaya esoknya mudah nak bangun pagi pergi sekolah. Satu rumah kena tutup lampu dan tutup TV supaya anak-anak tidur.
Tapi yang lucunya adalah apabila mak bapak sendiri yang ibarat mengajar ketam berjalan betul.
Apa tidaknya, semua lampu rumah dipadam tetapi si bapa atau si ibu terkekek-kekek gelak apabila tengok posting video yang mencuit hati.
Ini diceritakan sendiri oleh seorang rakan berkenaan perihal isterinya. Katanya, nak tegur nanti kecil hati. Jadi apa yang dia buat adalah buat-buat tak tahu sahaja.
Cuma apabila pagi, bila anak-anak liat nak bangun tidur, masa itulah ungkit balik kejadian malam tadi.
Disebabkan suara TikTok tersebut, membuatkan budak-budak tak tidur atau susah tidur sebenarnya.
Justeru sebagai ibu bapa seharusnya kita tunjukkan sikap yang baik. Jadi teladan pada anak-anak.
Jika suruh anak tidur awal, semua kena tidur awal. Jika tak boleh tengok handphone ketika makan, semua jangan tengok. Itu baru betul.
Bukannya bagi arahan tapi diri sendiri tak ikut peraturan yang ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!