Terapi muzik anak-anak istimewa

Fatin (kiri) mengajar salah seorang murid bermain piano.
Fatin (kiri) mengajar salah seorang murid bermain piano.
A
A
A

SHAH ALAM - Cabaran mengajar anak-anak autisme dan orang kurang upaya (OKU) bukan sesuatu yang mudah, malah ia memerlukan pelbagai pendekatan bagi memastikan insan istimewa itu mampu menempuh kehidupan dunia sama seperti orang lain.

Seorang guru muzik yang mengajar piano di sebuah sekolah khas, Fatin Osman, 49, berkata, antara cabaran perlu dihadapi oleh mereka ialah memastikan setiap murid mengikuti aturan dan mengekalkan disiplin sepanjang tempoh pembelajaran.

Menurutnya, selain mengajar, guru-guru juga perlu mengasah kemahiran moto dan juga kognitif pelajar untuk membiasakan diri mereka menggunakan semua deria serta pancaindera sedia ada.

“Tugas guru perlu ajar anak-anak autisme ini untuk bersedia menghadapi keadaan dunia sebenar. Apabila ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah pendidikan khas kita akan bantu.

“Muzik adalah salah satu terapi yang boleh beri mereka kehidupan baharu dengan latih mereka untuk fahami setiap fungsi deria rasa, emosi dan juga kemahiran moto yang mereka akan gunakan apabila bergaul bersama orang biasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, menurut Fatin, mengajar anak-anak autistik memerlukan kesabaran kerana kebanyakan daripada mereka memerlukan masa untuk memahami skor muzik, menulis dan juga aktiviti lain.

Tambahnya, anak-anak syurga itu mempunyai rutin yang berulang-ulang dan perkara tersebut memerlukan tenaga pengajar sentiasa peka untuk tidak menggubah kitaran rutin di dalam kelas.

Perkara tersebut penting bagi memastikan kejadian tantrum di dalam kelas tidak berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Kelas mereka adalah selama 30 minit dan saya bahagikan 20 minit bermain piano dan 10 minit untuk kelas teori. Itulah rutin yang saya perlu buat setiap hari. Kita tak boleh tukar sebab kalau ubah rutin itu mereka akan mengamuk.

“Jadi walaupun kita nak disiplinkan mereka, tetapi kita juga perlu faham tingkah laku anak-anak ini supaya mereka boleh kekal fokus sepanjang tempoh 30 minit,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fatin berkata, kajian saintifik juga membuktikan bahawa terapi muzik mampu memberi impak positif dalam kehidupan manusia terutama insan istimewa.

Ujarnya, individu autistik mempunyai keupayaan yang sama dengan manusia biasa dan mereka juga mampu melakar kejayaan terbaik dalam hidup.

“Mereka boleh proses emosi melalui muzik memang boleh, tapi kalau nak ekspresikan emosi macam orang normal perkara itu sikit sukar.

“Tapi ada juga antara mereka yang mempunyai kebolehan muzik yang sangat luar biasa. Mungkin mereka menghadapi kesukaran dalam akademik tetapi mereka sangat bagus dalam muzik. Mereka boleh jadi individu yang hebat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!