Paralimpik 2024: Liek Hou mara final, Fareez kandas separuh akhir

Liek Hou selangkah pertahankan emas, Fareez alih tumpuan gangsa badminton di Paralimpik 2024.

Dari kiri: Liek Hou, Fareez. Foto:MSN
Dari kiri: Liek Hou, Fareez. Foto:MSN
A
A
A

IMPIAN peminat sukan tanah air untuk melihat dua pemain badminton para negara beraksi di final perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) tidak kesampaian selepas hanya Cheah Liek Hou berjaya mara ke final.

Liek Hou mengesahkan final kedua berturut-turut di pentas Paralimpik dengan mengambil masa 47 minit menumbangkan musuh ketatnya Dheva Anrimusthi dari Indonesia 21-17, 21-17 pada saingan separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena, sekali gus berpeluang mempertahankan emas dimenanginya pada edisi Tokyo 2020.

Sebaliknya, rakan sepasukannya Muhammad Fareez Anuar tidak berupaya mengekalkan momentum terbaiknya ketika ini apabila tumpas kepada Suryo Nugroho juga dari Indonesia, 12-21, 21-14, 6-21 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Kekalahan itu, menyaksikan Fareez akan menentang Dheva pada perlawanan merebut pingat gangsa.

Berdasarkan rekod pertemuan, Liek Hou yang juga pemain nombor satu dunia dan pilihan utama temasya memiliki kelebihan ke atas Nugroho apabila menang 13 kali termasuk kemenangan 21-10, 21-13 pada aksi terakhir Kumpulan A di sini, semalam.

Sementara itu, Fareez yang membuat kemunculan pertama di pentas Paralimpik pula pernah menewaskan Dheva dua kali dalam enam pertemuan termasuk kejutan ke atas lawan nombor tiga dunia itu 14-21, 21-19, 21-19, dalam Kumpulan B di sini.

Selain kemenangan ke atas Dheva, Fareez juga mengejutkan pilihan kedua dari Taiwan, Fang Jen-Yu 21-14, 21-18 dan menutup kempen Kumpulan B dengan mengatasi wakil Jepun, Taiyo Imai 17-21, 21-17, 21-17. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!