Wanita maut nahas kereta, treler muatan sawit
LARUT - Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam nahas dengan treler bermuatan kelapa sawit di Jalan Taiping berhampiran Kampung Pondok Tanjung dekat Selama pada Ahad.
Dalam kejadian itu, mangsa, Rozana Othman, 32, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dialaminya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kejadian diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama pada jam 8.41 pagi.
"Anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Persona dan treler.
"Terdapat seorang mangsa tersepit di tempat duduk pemandu namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut beliau, operasi membawa keluar mangsa diteruskan dengan bantuan pasukan dari BBP Batu Kurau.
"Pasukan menggunakan peralatan khas hidraulik hingga mangsa berjaya dikeluarkan.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 10.50 malam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!