[VIDEO] PM tegur proses reformasi perkhidmatan awam tidak memuaskan

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri membuat beberapa teguran berhubung proses reformasi perkhidmatan awam termasuk penggabungan agensi dan jabatan yang dilihat tidak memuaskan.

Malah Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegur laporan ketua jabatan mengenai kecuaian dan pegawai yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.

Anwar Foto Bernama
Anwar Foto Bernama

"Penggabungan agensi dan jabatan belum berlaku dengan memuaskan. Pertindihan jawatan yang kurang perlu itu masih di peringkat kurang memuaskan.

"Laporan dari ketua jabatan, ketua pengarah dan ketua unit mengenai kelembapan serta kecuaian pegawai itu pun belum di tahap memuaskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini pada Isnin.

Tegas Anwar, konsep Madani menuntut semua pihak melihat ke arah kerangka tumpuan kerajaan dari segi tata kelola, pemacuan pertumbuhan ekonomi dan keselesaan rakyat.

"Ini umpamanya melihat masalah rakyat (seperti) kecepatan kita menjawab surat tuntutan mereka, sama ada boleh atau tidak, langkah serta prosedur yang harus dipatuhi... Itu semua harus kita cari kaedah baharu," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, proses untuk melakukan reformasi itu harus setimpal dengan tuntutan semasa yang memerlukan segalanya dilakukan dengan pantas.

"Saya ambil umpamanya beberapa jabatan ada peraturan yang dilaksana sejak puluhan tahun lalu.

"Ada yang baik, kita teruskan tetapi ada perkara perlu diubahsuai dengan memberi tumpuan, keutamaan dan sebagainya," katanya.

Justeru, beliau meminta segala langkah reformasi yang digariskan kerajaan dilaksana segera.

"Ini saya nak mohon sudara beri perhatian," katanya.

Tambah beliau, satu perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Wan Ahmad akan diadakan bagi mengenalpasti langkah untuk memperbaiki prestasi yang dianggap sudah baik.

"Kalau kita kata tahap kecekapan hasil itu terbaik tetapi apakah itu maksimum atau pun boleh diperbaiki?

"Tahap kecekapan naik 70 kepada 85 peratus mengapa tidak boleh 95 peratus?

"Saudara boleh jangkakan September ini merupakan bulan pergerakan reform yang lebih pesat," kata beliau.

Pada majlis itu, Anwar mengalu-alukan kehadiran Shamsul Azri sebagai KSN yang baharu.

Beliau menyatakan keyakinan terhadap Shamsul Azri yang boleh bekerja dalam satu pasukan bersama penjawat awam lain, menaikkan prestasi perkhidmatan awam dan memenuhi harapan bukan sahaja penjawat awam tetapi rakyat keseluruhannya.

“Saya seru rakan-rakan beri kerjasama sepenuhnya terhadap apa pun keputusan yang telah dibuat termasuk pelantikan Perdana Menteri tidak semestinya keputusan yang terbaik.

“Tetapi keputusan sudah diambil, apa yang kita perlu lakukan ialah tekad untuk melaksanakan amanah besar dan tawakal kepada ALLAH SWT,” jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!