Dua lelaki maut, dua motosikal bertembung
KOTA BHARU - Dua penunggang motosikal termasuk seorang warga emas maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Salor-Pasir Mas pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kedua-dua mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu berusia 28 dan 79 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati penunggang lelaki berusia 28 tahun yang menunggang Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari arah Wakaf Che Yeh menghala ke Pendek.
"Sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu terlanggar secara berhadapan dengan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang oleh mangsa warga emas yang juga seorang lelaki.
"Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Rosdi meminta saksi yang melihat kemalangan itu tampil membantu dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Muhammad Naqiyuddin Sharifuddin di talian 09-7752315.
Orang ramai juga dinasihatkan mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas untuk keselamatan bersama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!