Program penggantian paip manfaatkan penduduk

Kerja-kerja penggantian paip usang sedang dijalankan di salah satu hotspot di Gombak.
Kerja-kerja penggantian paip usang sedang dijalankan di salah satu hotspot di Gombak.
A
A
A

Kerja penggantian paip di beberapa kawasan di daerah Gombak dan Hulu Selangor menyelesaikan aduan paip pecah, air berkarat dan tekanan air rendah di kawasan terlibat.

Ketua Kampung, Kampung Kenanga, Rawang, Sukriya Yahya berkata, penduduk hadapi masalah paip pecah dan air berkarat susulan paip lama telah digunakan puluhan tahun didakwa ketika zaman Jepun lagi.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan penduduk berdepan masalah kekerapan paip pecah sekurang-kurangnya sebulan sekali. “Setiap kali paip pecah, kami hadapi gangguan bekalan air sekurang-kurangnya empat jam sementara menunggu kerja pembaikan dilakukan.

SUKRIYA
SUKRIYA

"Penggantian paip ini dapat menyelesaikan isu gangguan air dihadapi penduduk dan Air Selangor pun dapat mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW),” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kerja penggantian paip telah dilaksanakan secara berfasa sejak dua tahun lalu membabitkan Jalan Melur dan Jalan Kemuning di sini dan akan disusuli ke kawasan lain.

“Selepas perjumpaan diadakan baru-baru ini dimaklumkan kerja penggantian paip akan diteruskan ke Jalan Anggerik pula. “Saya berharap kerja penggantian paip ini akan diteruskan ke beberapa jalan lain, dianggarkan berbaki 30 peratus lagi yang perlu digantikan di sini,” katanya.

Program penggantian paip

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffi an Ghazali berkata, program penggantian paip merupakan komitmen bagi meningkatkan efisiensi perkhidmatan bekalan air kepada pengguna serta menggantikan paip usang yang sudah berusia lebih 50 tahun.

ADAM SAFFIAN
ADAM SAFFIAN

“Program berkenaan telah dilaksanakan sejak 2016 membabitkan penggantian paip sepanjang 150 kilometer (km) setiap tahun.

“Setakat Mei tahun ini, sepanjang 750.62 km penggantian paip telah dilaksanakan yang secara tidak langsung dapat mengurangkan NRW serta menjamin bekalan air mampan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, Air Selangor memperuntukkan sebanyak RM9.3 juta bagi penggantian paip di 10 lokasi di daerah Gombak dan Hulu Selangor yang dapat memberikan manfaat kepada 409 pemegang akaun.

“Lokasi terlibat ialah Jalan Melur dan Jalan Kemuning di Kampung Kenanga, Jalan Dahlia 7 Bukit Beruntung, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh membabitkan kawasan Ulu Yam dan dua lokasi di Serendah.

Penggantian paip baharu telah memberikan manfaat kepada penduduk setempat.
Penggantian paip baharu telah memberikan manfaat kepada penduduk setempat.

“Projek itu juga melibatkan kawasan Jalan Cemperaisari Sungai Buaya, Jalan SG 1/1 Taman Sri Gombak, Jalan SU40 Taman Selayang Jaya, Jalan Bunga Tanjung di Kampung Sungai Tua Baharu dan Jalan 43 Selayang Baru,” kata Adam.

Beliau berkata, kesemua projek berkenaan siap secara berperingkat antara September 2023 hingga Mei lalu.

“Bermula pada tahun ini, Air Selangor akan menggantikan paip sepanjang 300 km pada setiap tahun, dan 400 km bermula tahun 2034,” kata Adam.

Tingkat kualiti air

Dalam pada itu, Ketua Kampung Sungai Tua Baharu, Batu Caves, Zulkifli Hamzah berkata, projek penggantian paip di Jalan Bunga Tanjung dapat menyelesaikan isu tekanan air rendah yang disebabkan faktor peningkatan penduduk susulan banyak rumah sewa dibina di kampung berkenaan.

ZULKIFLI
ZULKIFLI

Zulkifli berkata, penggantian paip berusia lebih 30 tahun itu sudah pasti melegakan penduduk kerana ia sekali gus dapat meningkatkan kualiti bekalan air di sana.

“Paip lama menggunakan bahan besi menyebabkan air mudah berkarat. Kebanyakan rumah memasang penapis air bagi menjaga kualiti air terutama bagi yang mengunakan air terus dari meter.

“Penggantian paip tersebut merupakan langkah tepat dan berharap kualiti air terus dipertingkat dengan memperluaskan projek itu ke kawasan lain,” katanya.

Ujarnya, Jalan Bunga Tanjung merupakan lokasi kedua terlibat projek tersebut dan terdapat beberapa jalan lain juga perlu diberikan penumpuan seperti Jalan Kenanga dan Jalan Melati.

“Penggantian paip merupakan satu keperluan dan sekarang baru satu jalan terlibat. Saya berharap ia terus diperluaskan secara menyeluruh.

“Keutamaan projek itu bergantung kepada rekod sistem dan aduan mengikut keperluan disebabkan air kotor atau kekerapan kebocoran,” katanya.

LAWRENCE
LAWRENCE

Sementara itu seorang penduduk Bukit Beruntung, Hulu Selangor, Lawrence John, 36 berkata, penggantian paip di Jalan Dahlia di sini memberikan manfaat kepada penduduk yang menikmati tekanan air yang lebih baik.

“Sepanjang 27 tahun tinggal di sini saya tak pernah dengar paip ditukar menyebabkan penduduk menghadapi masalah tekanan air.

“Penggantian paip melegakan penduduk kerana kami kini mendapat bekalan air bersih yang stabil,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!