Perdana Menteri New Zealand diberi sambutan rasmi di Putrajaya

Anwar (tiga, kanan) mengadakan mesyuarat dengan delegasi dari New Zealand selepas menerima kunjungan hormat Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon (empat, kiri) di Perdana Putra pada Isnin. Foto Bernama
Anwar (tiga, kanan) mengadakan mesyuarat dengan delegasi dari New Zealand selepas menerima kunjungan hormat Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon (empat, kiri) di Perdana Putra pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana, di sini pada Isnin.

Luxon yang tiba di Malaysia semalam untuk kunjungan pertama kali beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November lepas, disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejurus tiba pada 9.30 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Luxon kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Khairul Fakhzan Zainol Abidin.

Turut hadir pada majlis tersebut kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.

Luxon dan Anwar kemudiannya mengadakan pertemuan dua hala untuk membincangkan hal berkaitan hubungan antara Malaysia dan New Zealand serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu berkaitan hubungan dan kerjasama dua hala di bawah Perkongsian Strategik Malaysia-New Zealand yang dimeterai pada 2023, merangkumi empat tonggak Kemakmuran, Rakyat, Planet, serta Keamanan dan Keselamatan.

Usai mengadakan pertemuan dua hala, kedua-dua pemimpin dijangka mengadakan sidang media bersama dan satu kenyataan bersama akan dikeluarkan selepas itu.

Wisma Putra memaklumkan Anwar seterusnya akan meraikan Luxon dan delegasinya pada majlis makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana hari ini.

Artikel Berkaitan:

Pada 2023, New Zealand merupakan rakan dagangan ke-28 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-22 dan sumber import ke-27 terbesar dalam kalangan negara di rantau Oceania.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan New Zealand adalah sebanyak RM11.56 bilion (AS$2.54 bilion). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!