Ditahan pada hari lahir, pemuda nekad berubah
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang pemuda tidak menyangka tarikh hari lahirnya pada 9 Mac lalu menjadi detik paling menyedihkan apabila ditahan polis kerana kesalahan memproses dan menjual daun ketum dua tahun lalu.
Pemuda berusia 21 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Rahmat itu ditahan kira-kira jam 9 malam ketika sedang melepak bersama beberapa rakan di rumahnya di Kuala Krai.
Rahmat kini terpaksa menjalani hukuman di Pusat Pemulihan Akhlak Machang kerana didapati bersalah melanggar undang-undang.
Anak ketiga daripada lima beradik itu mengakui kesal dengan keputusannya memproses dan menjual ketum selepas terpaksa pulang ke kampung kerana tidak dibayar gaji oleh majikannya ketika bekerja di Jelebu, Negeri Sembilan.
"Saya juga tidak menyangka rahsia memproses ketum terbongkar namun reda kerana dapat menjadi pengajaran terutama kerana ditahan pada tarikh saya dilahirkan.
"Saya tahu tindakan memproses dan menjual daun ketum menyalahi undang-undang tetapi wang menyebabkan saya gelap mata walaupun sudah berkali-kali keluarga memberi nasihat dan amaran," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Rahmat, segalanya bermula apabila dia terpaksa pulang ke kampung selepas titik peluhnya sebagai pekerja kontrak sebuah syarikat telekomunikasi di Jelebu, Negeri Sembilan tidak dibayar selama tiga bulan.
Dia kemudian nekad mencari bekalan ketum dengan rakan sekampung sebelum memproses dan menjualnya.
Jelasnya, ketum mengambil masa tiga jam untuk dimasak dan dia menjualnya pada harga RM10 satu plastik.
"Saya belajar kaedah memproses dengan rakan-rakan sebelum mahir sepenuhnya.
"Pendapatan hasil menjual ketum memang lumayan kerana setiap hari saya mendapat untung kasar antara RM100 hingga RM200," katanya.
Bagaimanapun katanya, 'kekayaannya' tidak lama kerana usaha dan wang itu tidak berkat selain menyalahi undang-undang negara.
Rahmat kini sedang mengikuti Program Pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) sebelum dibebaskan pada 9 September depan.
Rahmat juga nekad untuk menjaga kedua ibu bapanya selepas dibebaskan dan mahu membina kehidupan yang lebih baik.
"Cukuplah saya ditahan di sini (Pusat Pemulihan Akhlak Machang) namun banyak pengajaran yang dilalui walaupun pertama kali bersama penghuninya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!