Satu lagi pesawat MAS terpaksa berpatah balik
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebuah lagi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) ke Seoul, Korea Selatan dipercayai mengalami masalah teknikal sehingga terpaksa berpatah balik ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad malam.
Aplikasi penjejak penerbangan global, Flight Radar24 menunjukkan MH66 berlepas dari Terminal 1 KLIA 1 jam 12.01 tengah malam Isnin ke Seoul, Korea Selatan berbanding jadual asalnya jam 11.30 malam Ahad.
Ia kemudiannya berpatah balik dan selamat mendarat jam 12.34 tengah malam.
Difahamkan, pesawat tersebut mengalami masalah teknikal.
Sehingga kini, pihak media masih menanti kenyataan dikeluarkan oleh Malaysia Airlines Berhad (MAB).
Minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan masalah komponen mekanikal merupakan antara isu signifikan yang menyumbang kepada beberapa insiden teknikal membabitkan pesawat MAB seperti dilaporkan sejak akhir- akhir ini.
Selain itu, syarikat yang bertanggungjawab menyelenggara pesawat MAB, MAB Engineering Services (MABES) juga didapati kekurangan pekerja mahir.
Sebelum ini dilaporkan beberapa insiden serupa berlaku membabitkan penerbangan MAS.
Antaranya, MH156 yang dalam perjalanan ke Jeddah pada 4 Ogos lalu terpaksa berpatah balik ke KLIA 1 susulan masalah teknikal.
Dua minggu lalu, MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur pada 19 Ogos turut terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Alice Springs akibat masalah enjin di udara.
Pada 24 Jun, MH780 yang dalam penerbangan ke Bangkok juga berpatah balik ke KLIA selepas mengalami masalah tekanan udara.
Sementara, pada 20 Jun, MH199 yang menuju ke Kuala Lumpur dari Hyderabad terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi pada 3.21 pagi waktu tempatan, disebabkan masalah enjin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!