JKKN jamin kesenian dan kebudayaan kekal terpelihara

MOHD AMRAN
MOHD AMRAN
A
A
A

Kebudayaan dan kesenian yang menjadi tonggak utama pembinaan negara bangsa berupaya kekal serta terpelihara dalam mendepani arus kemodenan dan kepesatan digitalisasi pada masa kini.

Dengan adanya Akta 645 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, tiga daripada empat elemen Warisan Tidak Ketara mempunyai hubungan terus dengan tanggungjawab dan fungsi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Selain itu, persepsi awam terhadap seni dan budaya merupakan antara cabaran utama JKKN bagi memastikan ia terus dimartabatkan. Ikuti temu bual wartawan Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan dan jurufoto, Rosli Talib bersama Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris.

Sinar Harian: Apakah misi utama JKKN dalam memelihara dan mempromosikan seni budaya di Malaysia?

MOHD AMRAN: Saya suka bercerita dari sudut Akta Warisan Kebangsaan yang mana kita menjurus kepada akta yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Warisan Negara kerana ia digubal melaluinya. Dalam akta ini, di bawah Akta 645, terdapat elemen orang ramai yang mungkin tidak begitu tahu tetapi ia sebenarnya melibatkan JKKN iaitu Warisan Tidak Ketara. Ia merangkumi empat perkara iaitu adat dan budaya; seni persembahan; bahasa dan persuratan; seni halus dan kraf. Dalam empat elemen ini, tiga daripadanya kecuali seni halus dan kraf adalah di bawah JKKN. Apabila adanya akta itu, JKKN mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan kelestarian dan seni budaya Warisan Tidak Ketara menjadi satu tonggak utama.

Bagaimana JKKN memastikan warisan seni dan budaya tradisional terus relevan dalam kalangan generasi muda ditambah pula era digitalisasi?

Dalam menyemarakkan aktiviti seni dan budaya, saya tidak nafikan JKKN perlu membuka pintu kepada kemajuan dan teknologi. Perkara ini kita telah mulakan dari awal sewaktu zaman Covid-19. JKKN menyediakan platform seni budaya digital dan laman sesawang mesra pelanggan yang membolehkan pelayar mengakses maklumat seni budaya dengan lebih mudah dan cepat. Pada masa yang sama, banyak kandungan seni budaya diterapkan menggunakan elemen teknologi masa kini. Sebagai contoh, jika dahulu pementasan bangsawan menggunakan framework lama, sekarang dengan ada kemajuan teknologi melibatkan lampu, diod pemancar cahaya (led) dan sistem audio akan diterapkan dalam persembahan kesenian.

JKKN sentiasa memastikan teras utama persembahan kesenian tradisional tetap dipelihara. - Gambar hiasan.
JKKN sentiasa memastikan teras utama persembahan kesenian tradisional tetap dipelihara. - Gambar hiasan.

Artikel Berkaitan:

Adakah perkembangan kecerdasan buatan (AI) akan melenyapkan seni budaya?

Saya tekankan di sini tonggak utama JKKN adalah pemeliharaan persembahan kesenian tradisional. Itu memang tak lari dari teras kami. Pada masa yang sama, kita melihat juga kepada tuntutan dan perkembangan teknologi masa kini. Sebagai contoh, kita juga menerapkan pementasan secara indoor dengan menggunakan elemen emersive dan juga AI. Selaras dengan usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kementerian dan agensi meneroka dunia digital. Beliau sanggup menyediakan dana besar kepada penjawat awam untuk mempelajari teknologi masa kini seperti AI. JKKN menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk turut mengimplementasi AI dalam pelaksanaan aktiviti seni budaya sebagai nilai tambah. Teras utama persembahan kesenian tradisional tetap dipelihara, kami akan pertahankan sampai bila- bila.

Apakah cabaran terbesar dihadapi JKKN dalam melaksanakan programprogram seni budaya?

JKKN membawa dua teras yang besar iaitu kebudayaan dan kesenian. Cabaran utama lebih tertumpu kepada persepsi awam. Apabila kita sebut seni budaya, konotasi mereka lebih kepada negatif seolah-olah seni dan budaya ini suatu perkara tidak berfaedah dan membuang masa. Masyarakat perlu faham dalam usaha untuk membangunkan sebuah negara kita perlu ada identiti. Identiti negara digabung dan dijalinkan pula dengan seni budaya yang terhasil daripada kepelbagaian kaum dan etnik. Ini semua adalah keunikan dan menjadi identiti Malaysia itu sendiri. Sekiranya kita tidak menitikberatkan perkara ini apa akan jadi pada negara untuk tempoh 10 tahun? Bagaimana dengan nasib generasi kita akan datang? Sudah tentu mereka tidak akan tahu dan tidak mengenali identiti tanah air tercinta ini. Jadi, keunikan seni budaya itu perlu dijaga.

Bagaimana JKKN bekerjasama dengan komuniti tempatan dan penggiat seni untuk memajukan seni budaya di peringkat akar umbi?

Kerjasama jabatan dengan komuniti sangat baik. Bagi memperhebatkan lagi hubungan ini, JKKN menyediakan dana dan geran untuk diberikan kepada komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan program berkaitan seni dan budaya. Selain itu, di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC), terdapat juga Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSKK) yang disediakan kepada mereka bagi melaksanakan aktiviti. JKKN memperuntukkan RM600,000 dana setahun bagi membolehkan pihak komuniti dan NGO membuat permohonan. Apa yang penting, mereka perlu berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), program yang dianjurkan juga perlu berkaitan dengan kebudayaan dan kesenian.

Apakah langkah-langkah yang diambil oleh JKKN untuk mempromosikan seni budaya Malaysia di peringkat antarabangsa?

Kami sedaya upaya mempromosikan identiti negara kepada masyarakat luar menerusi agensi kementerian seperti Tourism Malaysia dan pihak kedutaan di bawah Kementerian Luar Negeri. Kebiasaannya mereka akan menjemput penglibatan JKKN untuk persembahan kesenian dan kebudayaan di acara-acara rasmi serta sebagainya. Peluang yang diberikan ini digunakan sepenuhnya oleh JKKN untuk mempromosikan keunikan seni dan budaya negara.

Apakah harapan tuan terhadap masa depan seni budaya di Malaysia?

Harapan saya agar kesenian dan budaya terus dihormati dan dimartabatkan. Apabila persepsi masyarakat melihat seni dan budaya sebagai program membazir dan tidak memberi faedah, sebenarnya persepsi ini perlu dihapuskan. Seni dan budaya menyumbang kepada pembinaan negara bangsa itu sendiri melalui identiti. Semua agensi dan masyarakat di luar sana perlu melihat seni budaya sebagai satu elemen perpaduan dan kesejahteraan antara kaum. Saya harapkan penerimaan dan sokongan daripada semua pihak terhadap aktiviti seni dan budaya manakala pihak swasta perlu turut bersamasama mempergiatkan usaha untuk memartabatkannya.

Bolehkah tuan berkongsi pencapaian yang paling membanggakan JKKN dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini?

Semua petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan tahun ini berjaya dicapai JKKN. Tahun sebelum ini, JKKN telah berjaya mewujudkan bahan-bahan dokumentasi daripada hasil penyelidikan seperti buku Mek Mulung Bangkitnya Warisan Turun Temurun / A Heritage Rediscovered dan Keindahan Kain Tenun Songket Malaysia / The Beauty of Malaysian Songket. Melalui usaha JKKN, Mek Mulung telah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Yang Perlu Dilindungi oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Hasil pengiktirafan ini, JKKN akan mengadakan pelbagai program berkaitan seperti jelajah Mek Mulung di Johor dan Selangor. Mek Mulung adalah persembahan teater tradisional yang melibatkan lakonan, dialog, nyanyian, dan tarian. Selain itu, JKKN turut merancang untuk mengadakan pementasan Mak Yong berskala besar di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!