PRK DUN Mahkota: Wanita UMNO serah tiga nama
IPOH - Wanita UMNO sudah mengemukakan tiga nama kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, bagaimanapun keputusan akhir akan diputuskan oleh pimpinan tertinggi.
Jelas beliau, pihaknya akan tetap akur dengan apa sahaja keputusan berkaitan calon yang akan dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRK itu nanti.
"Sesiapa pun calon yang dinamakan oleh kepimpinan itu, wanita akan sokong dan akan membantu sebaik mungkin untuk memenangkan calon dan kalau calon itu wanita, kita akan mengalu-alukan.
"Kita sudah mengemukakan tiga nama calon tapi akhirnya keputusan kepimpinan mengambil kira pelbagai faktor dan kita mengharapkan yang baik dan yang penting BN yang menang di DUN Mahkota," katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak di Sekolah Kebangsaan Seri Kelebang, Chemor di sini pada Isnin.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada 2 Ogos ketika dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini hingga 2 Ogos lalu, DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
Manakala pecahan antara kaum di DUN Mahkota berbeza di mana pengundi Melayu lebih kurang 54 peratus, Cina 35 peratus dan India lebih kurang lapan peratus.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!