Pekerja syarikat logistik meninggal dunia ketika daki Bukit Galing
KUANTAN - Seorang pekerja syarikat logistik di Gebeng dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas ketika mendaki Bukit Galing di sini, pada Ahad.
Lelaki berusia 32 itu disahkan meninggalkan oleh pegawai perubatan pada jam 7.20 petang selepas tiba di kaki bukit berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan laporan, mangsa bersama tiga yang lain memulakan pendakian jam 9 pagi.
Menurutnya, mangsa mengadu sesak nafas sebaik sahaja tiba di puncak bukit terbabit dan pendaki lain menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
"Anggota bomba dan penyelamat tiba di lokasi pada jam 1.10 tengah hari dan mangsa diberikan bantuan awal oksigen sebelum dibawa turun menggunakan pengusung.
"Ketika dalam perjalanan turun ke kaki bukit, mangsa mengadu mengalami sakit di bahagian dada dan tidak sedarkan diri," katanya pada Isnin.
Beliau memberitahu, usaha menurunkan mangsa mengalami kesukaran kerana laluan yang curam dan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk tiba di kaki bukit.
Jelasnya, mangsa tidak mempunyai sejarah penyakit dan aktif dalam aktiviti hiking.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!