Kes rasuah: Bekas SU politik Hamzah Zainudin akan kemuka representasi

Sayed Amir
Sayed Amir
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Peguam bekas setiausaha politik kepada mantan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu Mahkamah Sesyen, di sini pada Isnin bahawa, pembelaan akan mengemukakan representasi bagi mengkaji semula tiga pertuduhan suapan RM350,000 yang dihadapinya.

Ia membabitkan dakwaan kes rasuah berkaitan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Semasa sebutan kes di hadapan Hakim, Rosli Ahmad, peguam, Md Yunos Shariff yang mewakili Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad berkata, representasi itu akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), bulan ini.

Beliau memohon, mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes untuk mengemukakan representasi bagi mengkaji semula semua pertuduhan tersebut.

Mahkamah kemudiannya memutuskan 18 Oktober depan untuk prosiding kes seterusnya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farhana Ismail berkata, pendakwaan telah menyerahkan dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan, menerusi e-mel.

“Kami akan memanggil 20 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan, maka pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan kes,” katanya.

Mahkamah menjadualkan perbicaraan kes itu berlangsung selama 12 hari pada tahun depan, bermula 5 hingga 8 Mei, 26 hingga 29 Mei dan 23 hingga 26 Jun.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Mei lalu, dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini,atas dua pertuduhan menerima wang rasuah masing-masing RM100,000 dan RM250,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.

Ia didakwa sebagai upah untuk membantu syarikat itu mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNET Untuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kementerian Dalam Negeri bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, di Solaris Dutamas Jalan Solaris Dutamas, di sini pada 4 dan 16 Disember 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun.

Ia termasuk didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Keesokkan hari, lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu meminta suapan RM350,000 daripada individu sama di pejabat syarikat itu, di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, Shah Alam pada jam 4 petang, Disember 2020 lalu, bagi tujuan sama, dengan peruntukan sesyen yang serupa.

Ringkasan berita:

  • Pertuduhan: Bekas setiausaha politik Hamzah Zainudin menghadapi tiga pertuduhan rasuah RM700,000 berkaitan tender PDRM.
  • Pengakuan: Pembelaan akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk semak semula pertuduhan.
  • Tarikh Pengurusan Kes: Prosiding seterusnya dijadualkan pada 18 Oktober.
  • Perbicaraan: Perbicaraan kes ditetapkan selama 12 hari pada Mei dan Jun tahun depan.
  • Hukuman: Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!