Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram berdepan pertuduhan baharu

Radin Imran dikawal ketat anggota polis ketika di bawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Isnin.
Radin Imran dikawal ketat anggota polis ketika di bawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bapa kepada suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu, berdepan pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin.

Radin Mohd Yassin, 62, yang merupakan tertuduh pertama memiliki sebuah buku bertajuk Hakikat Islam dan Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman, berkaitan kumpulan pengganas, Islamic States (IS).

Pertuduhan baharu berkenaan difailkan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan sebelum prosiding sebutan semula kes membabitkan lima sekeluarga berkenaan berjalan pada pagi Isnin.

Bagi pertuduhan baharu itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item.

Farhah Sobrina dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin.
Farhah Sobrina dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Radin Imran daripada pertuduhan keempat sebelum ini membabitkan tuduhan sama, atas alasan teknikal.

Hakim Rasidah Roslee membenarkan permohonan berkenaan sebelum pertuduhan baharu itu dibacakan terhadap tertuduh.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hanya menyatakan faham selepas pertuduhan dibacakan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut membenarkan sebutan semula kes berkenaan ditetapkan pada 24 September depan di Mahkamah Sesyen sama sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Timbalan Pendakwa Raya memohon tarikh baharu sebutan semula kes sebelum ia dipindahkan, bagi serahan laporan pakar keganasan berikutan pihaknya memerlukan tempoh kira-kira sebulan lagi sebelum melengkapkannya.

Radin Romyullah dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin.
Radin Romyullah dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin.

Empat lagi tertuduh iaitu isteri Radin Imran, Rosna Jantan, 59, yang juga warga Singapura dan juga anaknya Radin Romyullah Radin Imran, 34; Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19, tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru dengan dikawal ketat polis, pada kira-kira jam 8.40 pagi.

Pada 31 Julai lalu, Mahkamah Sesyen, di sini, mengarahkan seorang daripada lima ahli keluarga yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram,17 Mei lalu, mendapatkan rawatan di hospital berikutan dikesan mempunyai simptom kemurungan.

Pada 19 Jun lalu, kelima-lima tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas sembilan pertuduhan berasingan, termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas semua sembilan pertuduhan dibacakan kepada semua tertuduh di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, ketika itu.

Rosna Jantan dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin.
Rosna Jantan dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin.

Radin Imran dilaporkan berhadapan empat pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait, kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Fahaman itu didakwa telah disemai kepada semua anggota keluarganya membabitkan Radin Luqman, 21, suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram; isterinya serta tiga anaknya yang lain.

Dalam kejadian serangan Balai Polis Ulu Tiram pada jam 2.45 pagi, 17 Mei lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

Sementara itu, Koperal Mohd Hasif Roslan cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Penyerang terbabit maut ditembak dalam kejadian berkenaan.

Mariah dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin.
Mariah dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin.

Ringkasan berita:

  • Pertuduhan Baru: Bapa suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram berdepan pertuduhan baru memiliki buku terkait kumpulan pengganas IS.
  • Pertuduhan Lama Digugurkan: Pertuduhan lama terhadap Radin Mohd Yassin digugurkan atas alasan teknikal.
  • Prosiding Mahkamah: Kes disebut semula pada 24 September sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
  • Anggota Keluarga: Empat anggota keluarga lain juga terlibat dalam kes ini, dengan dakwaan menggalakkan ideologi keganasan IS.
  • Serangan Balai Polis: Dalam serangan 17 Mei, dua konstabel meninggal dunia, dan penyerang ditembak mati.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!