SG4 Group untuk majukan ekonomi negeri pembangkang

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KAJANG - Empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) atau SG4 menubuhkan syarikat bersama sebagai usaha untuk memajukan lagi pentadbiran yang dikuasai pembangkang itu.

Ketua Panel Penasihatnya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, syarikat yang diberi nama SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) itu ditubuhkan beberapa bulan lalu dan dimiliki bersama Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Menurutnya, setiap negeri terlibat mempunyai kepentingan sama rata iaitu sebanyak 25 peratus.

"Kita tubuh (syarikat) ini bukan nak haluan lain (lawan kerajaan). Kita nak tumpu kepada pembangunan empat buah negeri yang tidak dapat kekayaan yang sama dengan negeri lain.

"Kita juga nak majukan empat buah negeri ini supaya kita juga dapat nikmat kekayaan negara.

"Syarikat itu dimilik 25 peratus oleh setiap negeri supaya negeri yang ketinggalan jauh seperti Perlis pun akan dapat hasil (daripada kerjasama) empat negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4) di salah sebuah hotel di sini pada Isnin.

Turut hadir, Panel Penasihat SG4 merangkap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Artikel Berkaitan:

Bekas Perdana Menteri itu menambah, syarikat yang ditubuhkan itu memfokuskan kepda lima kluster utama.

Menurutnya, lima kluster tersebut ialah infrastruktur dan logistik, perdagangan, pelaburan dan industri, pertanian dan sekuriti makanan, pendidikan dan modal insan dan sumber pendapatan baharu.

Sementara itu ditanya sumber pendapatan utama yang boleh menyumbang kepada syarikat baharu ditubuhkan itu, beliau berkata, industri nadir bumi (REE) salah satunya.

"Kita percaya REE ini satu punca kekayaan. Ia bukan ada sama rata di setiap negeri, satu negeri mungkin lebih daripada negeri lain.

"Jadi, dalam syarikat ini kita agih segala hasilnya secara saksama," katanya.

SG4 ditubuhkan tahun lalu melibatkan kerjasama Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Penubuhan itu memberi fokus untuk membangunkan sosioekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri yang terlibat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!