JPKK, JPKKP jadi ahli Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak

Noraini (dua dari kiri) menyerahkan pelekat khas kepada wakil sekolah-sekolah di Perak sempena Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak di Sekolah Kebangsaan Seri Kelebang, Chemor di sini, pada Isnin.
Noraini (dua dari kiri) menyerahkan pelekat khas kepada wakil sekolah-sekolah di Perak sempena Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak di Sekolah Kebangsaan Seri Kelebang, Chemor di sini, pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) akan diberi tanggungjawab menganggotai Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Perkara tersebut dicadangkan bagi membolehkan mereka memainkan peranan yang meluas dalam menyalurkan maklumat berkaitan kes-kes penderaan dan pengabaian yang berlaku dalam kawasan kampung.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, bagi tujuan itu pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memastikan hasrat tersebut direalisasikan.

"Perkara itu masih lagi dalam perbincangan tetapi sudah di peringkat akhir sebelum ia dilaksanakan.

"Tetapi kita ada satu program CBO itu Organisasi Berasaskan Komuniti yang melibatkan secara langsung dengan semua ketua kampung dan penghulu-penghulu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak di Sekolah Kebangsaan Seri Kelebang, Chemor di sini pada Isnin.

Sementara itu Noraini memaklumkan daripada Januari hingga Mei 2024 seramai 3,957 orang kanak-kanak di negara ini memerlukan pemeliharaan dan perlindungan termasuk di Perak seramai 288 orang.

Menurutnya, seramai 383 orang pegawai pelindung dan pegawai akhlak lantikan tetap bersama 280 orang pegawai lantikan kontrak juga diletakkan di semua pejabat kebajikan di seluruh negara bagi membantu kanak-kanak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Noraini menjelaskan program advokasi yang dilaksanakan itu merupakan usaha pihak KPWKM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada kanak-kanak serta komuniti mengenai kaedah advokasi yang bersesuaian dalam kes-kes yang berkaitan dengan kanak-kanak.

Katanya, sehingga Ogos lalu sebanyak 98 buah sekolah dengan penyertaan 33,250 orang telah terlibat dalam program advokasi tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Noraini berkata, pihaknya akan menyiasat segera sebarang aduan berkaitan tindakan mana-mana pihak yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak.

"Kita belum menerima apa-apa aduan, tapi kalau sekiranya ada yang ada yang mengadu kepada kami, kami akan ambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang yang bersesuaian dan bersesuaian di bawah kementerian.

"Apa-apa isu berkaitan KPWKM di bawah akta yang bersesuaian insya-ALLAH akan diambil tindakan. Kita akan melihat kes ke persatu kes, tidak kira kes berkaitan apa," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!