Pasukan futsal, bola sepak orang pekak sasar emas

Pasukan futsal orang pekak bersama Kepten, Mohammad Rahmatuddin Mhd Huzaizi (tengah) yang akan berentap pada kejohanan di Terengganu.
Pasukan futsal orang pekak bersama Kepten, Mohammad Rahmatuddin Mhd Huzaizi (tengah) yang akan berentap pada kejohanan di Terengganu.
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Kelantan (KelSDeaf) menyasarkan emas pada Kejohanan Futsal dan Bola Sepak Orang Pekak Malaysia 2024 yang akan berlangsung bermula Jumaat ini.

Pengerusi KelSDeaf, Saiful Helmie Dzamani berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan penilaian prestasi semasa pasukannya yang dilihat dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

“Atlet seramai 14 orang pekak akan bertolak ke Kuala Terengganu bagi menyertai kejohanan futsal kali keempat diadakan di stadium negeri itu pada 6 hingga 10 September ini.

“Selepas itu, 20 atlet orang pekak lagi akan membuat persiapan untuk ke kejohanan bola sepak kali ke-11 di Kuantan, Pahang pada 29 September hingga 5 Oktober ini,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Jersi Rasmi Tajaan Zas Homes kepada Pasukan Futsal Orang Pekak, di Kubang Kerian, di sini, pada Isnin.

Saiful Helmie
Saiful Helmie

Turut hadir, Timbalan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan negeri Kelantan, Mohd Firdaus Nawi serta Pengurus Operasi Zas Homes, Muhammad Azrimi Abdullah.

Saiful Helmie berkata, pasukan futsal dan bola sepak orang pekak yang ditubuh sejak 2016 itu menunjukkan prestasi cemerlang dengan meraih masing-masing tiga pingat emas dalam kejohanan sama yang disertai antara 2016 hingga 2019.

“Dalam tiga kali kejohanan futsal yang dianjurkan, kami mempertahankan kejuaraan sewaktu di Johor, Pahang dan Negeri Sembilan, manakala daripada 10 kali penganjuran kejohanan bola sepak, tiga kali kami meraih emas pada tahun 2016, 2017 serta 2019.

Artikel Berkaitan:

“Pada Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) pula, pasukan bola sepak orang pekak pernah merangkul emas pada tahun 2016 dan 2018,” katanya.

Penyerahan jersi oleh Muhammad Azrimi (dua dari kiri) kepada Kepten Pasukan Futsal Orang Pekak, Mohammad Rahmatuddin Mhd Huzaizi (dua dari kanan) sambil diiringi Saiful Helmie (kiri) dan Mohd Firdaus.
Penyerahan jersi oleh Muhammad Azrimi (dua dari kiri) kepada Kepten Pasukan Futsal Orang Pekak, Mohammad Rahmatuddin Mhd Huzaizi (dua dari kanan) sambil diiringi Saiful Helmie (kiri) dan Mohd Firdaus.

Sementara itu, Mohd Firdaus, berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada KelSDeaf untuk menyertai kedua-dua kejohanan tersebut.

“Peruntukan diberikan masing-masing sebanyak RM5,000 untuk futsal dan bola sepak.

“Kami berharap bantuan ini akan dapat membantu pasukan untuk memperoleh kejayaan di kejohanan itu nanti,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!