Laman Anggur Maahad Qiraat Annur Bukit Puas jadi tarikan

Ahmad Nazlan melihat anggur yang sudah berbuah dan dijangka matang sepenuhnya pada Oktober depan.
Ahmad Nazlan melihat anggur yang sudah berbuah dan dijangka matang sepenuhnya pada Oktober depan.
A
A
A

JERANTUT - Tidak mahu terlalu bergantung dengan derma orang ramai semata-mata, Maahad Qiraat Annur Bukit Puas di sini, mengambil inisiatif dengan penanaman anggur yang kini sudah mengeluarkan hasilnya sejak Jun lalu.

Kewujudan Laman Anggur menawarkan 17 varieti manis yang berasal dari baka Ukraine itu mula menjadi tarikan masyarakat setempat dan sekitarnya.

Penaung maahad, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, idea itu timbul selepas perbincangan bersama ahli-ahli jawatankuasa (AJK) lain dalam usaha untuk menampung kos maahad tersebut yang kini memiliki 30 pelajar lelaki berusia 12 hingga 17 tahun.

Ahmad Nazlan menunjukkan buah anggur yang ditanam di laman tersebut.
Ahmad Nazlan menunjukkan buah anggur yang ditanam di laman tersebut.

Menurutnya, penanaman anggur menjadi pilihan kerana tidak memerlukan tapak yang luas selain kelainan yang boleh menjadi tarikan di maahad terbabit.

"Ia ditanam sejak Januari tahun ini yang diusahakan oleh AJK yang memiliki kepakaran dalam bidang pertanian dan mula berbuah sejak Jun dan buah dijangka matang sepenuhnya pada bulan depan.

"Terdapat pelbagai jenis varieti antaranya Jupiter, Dixon, Faith, Ninel dan hasilnya terdapat 64 pokok telah ditanam setakat ini," katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Jerantut.

Artikel Berkaitan:

Laman Anggur antara usaha Maahad Qiraat Annur Bukit Puas di Jerantut untuk menampung kos maahad tersebut.
Laman Anggur antara usaha Maahad Qiraat Annur Bukit Puas di Jerantut untuk menampung kos maahad tersebut.

Ujarnya, konsep ditawarkan berbeza kerana anggur yang ditanam bukan untuk dijual, sebaliknya dijadikan sebagai tarikan di maahad tersebut yang telah beroperasi sejak lima tahun lalu.

"Kita menawarkan konsep pengunjung bersantai di bawah satu bumbung dengan melihat anggur-anggur yang ditanam sambil menikmati makanan dan minuman yang turut dijual di sini.

"Pengunjung dikenakan bayaran masuk RM6 seorang untuk dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun," jelasnya laman itu dibuka setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

Katanya, sebanyak 60 peratus bayaran masuk itu akan disalurkan kepada maahad dan selebihnya bagi menampung kos operasi laman itu.

Ahmad Nazlan (kiri) dan Abdul Rafid (tengah) serta AJK maahad itu, Abdul Razak Ismail menunjukkan hasil anggur yang ditanam di Laman Anggur tersebut
Ahmad Nazlan (kiri) dan Abdul Rafid (tengah) serta AJK maahad itu, Abdul Razak Ismail menunjukkan hasil anggur yang ditanam di Laman Anggur tersebut

Jelas beliau lagi, pihaknya merancang untuk menambahkan lebih banyak varieti anggur di mahaad itu yang memiliki keluasan kira-kira 1.2 hektar.

"Fasa seterusnya, kita akan menawarkan tarikan lain seperti ternakan pelbagai jenis baka kambing tempatan dan luar negara, rusa, landak selain menyediakan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) untuk pengunjung," ujar beliau.

Dalam pada itu, Pengerusi maahad, Abdul Rafid Fateh Mohamed memberitahu, kejayaan projek tanaman anggur itu akan banyak membantu selain dapat membuka mata pelajar terhadap prospek bidang pertanian.

Liana Azhar
Liana Azhar

Sementara itu, bagi pengunjung, Liana Azhar, 21, dari Kampung Gintong di sini teruja dengan konsep yang ditawarkan di laman tersebut.

Mengetahui kewujudan laman itu daripada adiknya, dia datang bersama rakan-rakan lain untuk melihat sendiri tanaman anggur di depan mata selain bersantai sambil menikmati menu yang ditawarkan.

Laman Anggur di maahad itu mula menjadi tumpuan pengunjung orang ramai.
Laman Anggur di maahad itu mula menjadi tumpuan pengunjung orang ramai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!