Polis Johor siasat laporan pegawai, tiga anggota terlibat kes pemerasan
JOHOR BAHRU – Polis menjalankan siasatan terperinci berhubungkes seorang pegawai dan tiga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam yang didakwa terbabit dalam kes pemerasan, bulan lalu.
Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, keempat-empat individu itu sudah ditahan sebaik laporan polis diterima pada 28 Ogos lalu sebelum diberikan jaminan polis.
"Kita sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. Keempat-empat suspek sudah ditangkap untuk siasatan lanjut.
"Proses siasatan sedang berjalan dan kita sedang mengumpul bukti. Sekiranya dapat bukti yang diperlukan untuk bantu siasatan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada Isnin.
Kumar berkata, selain siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, beliau turut mengarahkan siasatan dalaman juga dijalankan dengan segera.
"Siasatan akan dijalankan secara telus dan tindakan tegas dari sudut perundangan akan diambil sekiranya ada bukti," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!