Gudang barang e-dagang gaji PATI kena gempur
SHAH ALAM - Dua gudang pembungkusan dan penghantaran barang jualan e-dagang di Jalan Kebun di sini, yang dipercayai melindungi serta menggaji pekerja asing digempur, pada Isnin.
Serbuan bermula jam 12 tengah hari itu dijalankan sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dengan kerjasama JIM Selangor.
Sinar Harian yang menyertai operasi itu mendapati rata-rata pekerja asing yang menyedari serbuan itu bertindak melarikan diri dan bersembunyi di celah kotak, tandas serta stor.
Namun, tindakan itu berjaya digagalkan hasil kepungan dan pemeriksaan ketat sekitar premis.
Ada antara pekerja asing ini mendakwa tindakan bersembunyi kerana takut ditangkap penguat kuasa atas kesalahan tidak memiliki dokumen.
Salah seorang pekerja wanita asing warga Sri Lanka berkata, dia masuk ke Malaysia pada 2017 sebagai penuntut sebuah kolej di Klang dan tamat tiga tahun kemudian.
"Selepas itu, saya ditawar kerja di sini oleh ejen dengan gaji RM65 sehari," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, serbuan ini berjaya menahan 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun hasil pemeriksaan 87 individu.
Katanya, PATI yang ditahan terdiri daripada Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Sri Lanka dan Nepal dipercayai melakukan kesalahan tiada dokumen, tinggal lebih masa dan salah guna pas.
"Pada masa sama juga, JIM mengesan kesalahan menggajikan dan melindungi PATI dan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini pada Isnin.
Tambah Jafri, JIM memberi peringatan kepada majikan supaya tidak menggajikan PATI dan pihaknya tegas dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang lakukan kesalahan ini.
Jelas beliau, pada tahun ini setakat 1 September, jumlah tangkapan majikan seramai 1,018 orang, manakala tangkapan PATI seramai 31,196 orang.
"Kami mengingatkan majikan agar tidak lantik mana-mana ejen bagi mendapatkan permit dan dokumen pekerja asing. Kita tidak ada melantik atau berurusan dengan mana-mana ejen," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!