Terengganu akan laksana tiga fasa, realisasikan agenda SG4
KAJANG - Kerajaan negeri Terengganu akan melaksanakan tiga fasa bagi merealisasikan agenda bersama menerusi Sidang Kemuncak Kerajaan 4 Negeri (SG4) dengan lebih cekap dan berkesan.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, fasa kritikal menggiatkan perkongsian pintar dengan beberapa agensi dalam mengenal pasti potensi, mengumpulkan sumber, mengurus risiko dan menggalakkan inovasi.
“Agensi berkenaan adalah Kerajaan Persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta, pakar bidang dan ahli akademik serta semua pemegang saham,” katanya dalam ucapan Sidang Kemuncak Kerajaan 4 Negeri (SG4) pada Isnin.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Setiausaha Eksekutif, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali, Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Mohd Husni Wan Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Ikhtisad Kelantan (PKINK), Datuk Seri Zamri Ismail.
Ahmad Samsuri menjelaskan fasa kedua yang mana untuk membangunkan kerangka tindakan yang komprehensif dan seimbang.
Ujarnya, aset, keunikan atau kekuatan setiap negeri perlu dipertimbangkan secara kolektif dengan rakan kerjasama negeri lain.
“Ia mengambil kira keperluan kemampuan dan kekuatan aset-aset di setiap negeri.
“Fasa ini memerlukan analisis menyeluruh, perundingan berterusan dengan semua pihak berkepentingan, penyusunan strategi yang berdaya saing dan perancangan pembiayaan yang lestari,” tambahnya.
Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan projek yang berimpak tinggi kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan pembangunan fizikal di SG4.
“Paling penting pada fasa ini ialah penglibatan menyeluruh dan komunikasi berkesan antara pemegang taruh dan pasukan pelaksana.
“Sistem pemantauan dan penilaian yang efisien juga mampu menjamin hasilnya bermanfaat buat rakyat tempatan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!