SG4 Group tumpu industri REE
KAJANG - [DIKEMAS KINI] SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) akan memberi tumpuan untuk memajukan industri memproses unsur nadir bumi (REE) dalam usaha meningkatkan ekonomi empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana industri baharu itu berupaya memberi hasil pendapatan tinggi.
Menurutnya, bagi mencapai hasrat itu juga beberapa negara luar seperti China, Korea Selatan dan Jepun telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama.
"Apabila kita proses dan tukar (REE) ke dalam bentuk yang lebih bernilai tinggi, harganya berlipat kali ganda.
"Apatah lagi apabila (ia) menjadi satu elemen yang dalam bentuk tulen seperti kadmium (unsur logam) dan sebagainya harga jauh beratus kali ganda (tinggi).
"Maka, tentulah kita akan berusaha untuk menjadikan proses elemen ini sebagai satu keutamaan," katanya ketika sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4) di salah sebuah hotel di sini pada Isnin.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, beberapa syarikat luar juga telah mengemukakan permohonan untuk terlibat dengan industri REE tersebut.
Bagaimanapun katanya, proses tersebut masih di peringkat awal bagi tujuan mendapat lesen untuk penerokaan.
SG4 ditubuhkan tahun lalu melibatkan kerjasama Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.
Penubuhan itu memberi fokus untuk membangunkan pelan sosioekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri yang terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!