UMT universiti pertama tubuh galeri AR himpun artifak kapal karam
KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi universiti pertama di negara ini yang menubuhkan galeri penyelidikan berasaskan Realiti Terimbuh (AR) dengan menghimpunkan 10 artifak kapal karam di dasar laut Pulau Bidong.
Naib Canselornya, Profesor Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Digital Geoscience Global (DGeG) dan Perbadanan Kemajuan Teknologi Malaysia (MTDC) adalah untuk menghasilkan inovasi berbentuk pameran artifak yang ditemukan di sekitar Kapal Karam Bidong (Bidong Shipwreck).
Menurutnya, inovasi tersebut menggunakan teknik pengimbasan 3D dan AR terkini yang membolehkan pengunjung melihat artifak berkenaan secara lebih interaktif.
"Pameran ini mewakili gabungan seni, sejarah dan teknologi yang secara tidak langsung dapat menggambarkan sejarah masa lalu.
"Jadi kita berharap ia dapat memupuk minat lebih banyak pihak untuk memulihara dan mengekalkannya untuk tatapan generasi akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian pameran 3D & AR khazanah kapak karam dasar laut Pulau Bidong di galeri Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT di sini pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Ts Mohammad Hazani Hassan yang telah menyempurnakan majlis tersebut.
Mengulas lanjut, Mohd Zamri menyatakan artifak yang telah diselamatkan dari tapak arkeologi Pulau Bidong itu telah menjalani proses rawatan dan konservasi di Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan UMT.
"Menerusi teknologi AR dan 3D itu telah menjadikan pemuliharaan sebarang artifak lebih lengkap dan komprehensif melalui kebolehcapaian, penyelidikan dan data penting yang tidak ternilai sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan," jelas beliau.
Dalam pada itu, Mohd Zamri berkata, selain artifak Bidong Shipwreck, galeri tersebut turut menempatkan pelbagai khazanah dan penyelidikan UMT berkaitan marin.
"Ini adalah permulaan kepada lebih banyak projek menggunakan teknologi AR dan VR terutama dalam bidang geosains dan geo warisan.
"Kerjasama yang ditaja oleh MTDC ini adalah salah satu elemen yang terdapat dalam teknologi pengkalan data integrasi dan geospatial yang sedang dibangunkan DGeG bersama dengan Cradle Fund Sdn Bhd," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!