UBeS tetap hala tuju baharu perkasa sukan OKU

Mohd Firdaus berdiri (empat dari kanan) bergambar bersama atlet futsal orang pekak pada Isnin.
Mohd Firdaus berdiri (empat dari kanan) bergambar bersama atlet futsal orang pekak pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Urusetia Belia dan Sukan (UBeS) negeri Kelantan menetapkan hala tuju baharu bagi memperkasakan pembangunan dan penglibatan orang kurang upaya (OKU) dalam bidang sukan.

Timbalan Pengarahnya, Mohd Firdaus Nawi berkata, perkara itu antaranya membabitkan penyelarasan sukan-sukan yang melibatkan atlet OKU, kebajikan, fasiliti dan peruntukan yang dibuat dua minggu lalu.

“Penetapan hala tuju itu dibuat menerusi permuafakatan badan bukan kerajaan (NGO) Kelantan bertujuan menyelaras kembali sukan dalam kalangan OKU terutama memanah kerana Kelantan antara yang akan menjadi hub sukan itu di dunia pada masa depan.

“Isu fasiliti juga antara yang dibangkitkan dan hala tuju yang ditetapkan itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan pada pertengah bulan ini seterusnya dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadualkan pada November nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Jersi Rasmi kepada Pasukan Futsal Orang Pekak di Kubang Kerian dekat sini pada Isnin.

Turut hadir, wakil penaja jersi yang juga Pengurus Operasi Zas Homes, Muhammad Azrimi Abdullah dan Pengerusi Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Kelantan (KelSDeaf), Saiful Helmie Dzamani.

Dalam pada itu, Mohd Firdaus berkata, perkara terperinci berkaitan penetapan hala itu akan diumumkan selepas pembentangan di Persidangan DUN terbabit.

Mohd Firdaus (kanan) menerima cenderamata yang disampaikan Saiful Helmie (kiri) pada Majlis Penyerahan Jersi Rasmi kepada Pasukan Futsal Orang Pekak, di Kubang Kerian, Kota Bharu.
Mohd Firdaus (kanan) menerima cenderamata yang disampaikan Saiful Helmie (kiri) pada Majlis Penyerahan Jersi Rasmi kepada Pasukan Futsal Orang Pekak, di Kubang Kerian, Kota Bharu.

Katanya, kerajaan Kelantan juga baru mendapat ruang untuk bersama-sama Persekutuan dalam membangunkan sukan hasil politik gaya baharu yang diamalkan sejak dua tahun lalu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Sejak itu, beliau berkata, Exco negeri turut diberi peluang untuk bekerjasama rapat dengan Jabatan Belia Sukan (JBS) bagi merancakkan lagi pembangunan sukan negeri.

“UbeS juga pertama kali dapat duduk bersama dalam bengkel dua minggu lalu yang turut disertai JBS dan ketua-ketua jajahan bagi berbincang isu-isu berkaitan sukan.

“Kami mengharapkan kerjasama tanpa batasan politik ini mampu memberikan manfaat terbaik kepada bukan sahaja atlet OKU bahkan kesemua atlet di negeri ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!