Syarikat pengimport telur gagal mulakan prosiding komital terhadap Azmin

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menolak permohonan syarikat pengimport telur J&E Advance Tech Sdn Bhd bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Peguam Zarifah Zuhayra Zakaria berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong menolak permohonan itu atas alasan draf pernyataan saksi Azmin selaku defendan dalam kes itu masih belum diterima sebagai keterangan dalam mahkamah.

"Permohonan plaintif untuk memulakan prosiding menghina mahkamah secara keseluruhan melibatkan isu kebolehterimaan draf pernyataan saksi Azmin, dari segi undang-undangnya bagi satu pernyataan saksi itu diterima di mahkamah, ia perlu melalui beberapa peringkat, dan proses itu masih belum dipenuhi semasa peringkat perbicaraan.

"Draf itu hanya ditunjukkan kepada Azmin bagi mengesahkan itu adalah pernyataannya tetapi tidak melepasi peringkat lain, yakni ia perlu ditandatangan oleh Azmin.

"Walaupun pernyataan saksi itu telah difailkan sebelum ini, tetapi ia tidak melalui proses-proses yang sepatutnya, jadi ia kekal sebagai draf dan tidak pernah diterima sebagai keterangan dalam mahkamah," katanya ketika ditemui selepas prosiding dalam kamar pada Isnin.

Sementara itu beliau berkata, mahkamah turut menolak permohonan J&E Advance Tech untuk memanggil semula Azmin bagi pemeriksaan balas lanjutan dalam perbicaraan kes saman itu yang telah ditutup pada 17 Mei lepas.

"Kedua-dua permohonan itu ditolak dengan kos keseluruhan RM10,000," kata peguam itu.

Mahkamah menetapkan 17 September untuk pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan bertulis dan 16 Oktober untuk hujahan lisan.

Artikel Berkaitan:

J&E Advance Tech memfailkan notis permohonan komital itu secara ex-parte (sebelah pihak) pada 23 Mei lepas atas dakwaan Azmin telah membuat pernyataan palsu ke atas mahkamah dengan memfailkan pernyataan saksi defendan baharu pada hari kedua perbicaraan 17 Mei lepas dengan niat untuk menipu dan mengelirukan mahkamah serta pihak-pihak terlibat.

Syarikat itu mendakwa Azmin telah gagal mengemukakan alasan berkenaan kelewatan mengemukakan keterangan baharu pada hari kedua perbicaraan sedangkan mahkamah telah mengarahkan pemfailan dokumen pra bicara pada atau sebelum 30 Dis 2023.

Peguam Bhavanash Sharma yang mewakili J&E Advance Tech mengesahkan pihaknya akan memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding kes saman itu memandangkan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap kedua-dua keputusan itu.

J&E Advance Tech Sdn Bhd telah memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin pada 12 April 2023 kerana mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak melalui rundingan terus dengan kerajaan untuk mengimport telur dari India.

Syarikat itu mendakwa Mohamed Azmin telah membuat dan menerbitkan ucapan memfitnah syarikat berkenaan dalam 'Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman' di Taman Melewar di sini pada 11 Mac 2023 dan kenyataan beliau telah diterbitkan semula oleh media cetak dan elektronik termasuk YouTube. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!