MOT tunggu laporan lengkap MH66

Laporan Sinar Harian pada Isnin berhubung pesawat MAS ke Seoul, Korea Selatan dipercayai mengalami masalah teknikal sehingga terpaksa berpatah balik ke Terminal 1 KLIA pada Ahad malam. Gambar kecil: Anthony
Laporan Sinar Harian pada Isnin berhubung pesawat MAS ke Seoul, Korea Selatan dipercayai mengalami masalah teknikal sehingga terpaksa berpatah balik ke Terminal 1 KLIA pada Ahad malam. Gambar kecil: Anthony
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pengangkutan (MOT) masih menunggu laporan lengkap daripada Malaysia Airlines Berhad (MAB) berhubung masalah teknikal membabitkan pesawatnya, MH66 awal pagi Isnin.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau telah berhubung dengan syarikat penerbangan tersebut bagi mendapatkan penjelasan mengenainya.

“Saya telah berhubung dengan mereka (MAB), jadi kita tunggu laporan lengkap berkenaan dengan masalah teknikal tersebut.

“Saya telah meminta pihak MAB untuk membuat kenyataan berkenaan perkara itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024, di sini pada Isnin.

Sementara itu, MAB dalam kenyataannya mengesahkan pesawat berkenaan yang dalam perjalanan ke Incheon mengalami isu teknikal berkaitan dengan sistem hidraulik.

"Penumpang ditempatkan di hotel sementara menunggu penerbangan semula menerusi MH66D.

"Penerbangan balik, MH67D juga telah dijadualkan semula untuk berlepas pada jam 5.10 pagi waktu tempatan Incheon pada 3 September," katanya.

MH66 berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) jam 12.01 malam Isnin berbanding jadual asalnya jam 11.30 malam Ahad sebelum berpatah balik dan selamat mendarat jam 12.34 pagi, Isnin.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu Kementerian Pengangkutan mendedahkan masalah komponen mekanikal merupakan antara isu signifikan yang menyumbang kepada beberapa insiden teknikal membabitkan pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) seperti dilaporkan sejak akhir- akhir ini.

Selain itu, syarikat yang bertanggungjawab menyelenggara pesawat MAB, MAB Engineering Services (MABES) juga didapati kekurangan pekerja mahir.

Sebelum ini dilaporkan beberapa insiden serupa berlaku membabitkan penerbangan MAS.

Antaranya, MH156 yang dalam perjalanan ke Jeddah pada 4 Ogos lalu terpaksa berpatah balik ke KLIA 1 susulan masalah teknikal.

Dua minggu lalu, MH128 dari Melbourne ke Khala Lumpur pada 19 Ogos turut terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Alice Springs akibat masalah enjin di udara.

Pada 24 Jun, MH780 yang dalam penerbangan ke Bangkok juga berpatah balik ke KLIA selepas mengalami masalah tekanan udara.

Sementara, pada 20 Jun, MH199 yang menuju ke Kuala Lumpur dari Hyderabad terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi pada 3.21 pagi waktu tempatan, disebabkan masalah enjin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!