Motosikal baharu 150cc ke atas wajib miliki sistem ABS

Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS 2024) dekat sini pada Isnin. - Foto: Bernama
Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS 2024) dekat sini pada Isnin. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memutuskan kesemua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc dan ke atas wajib memiliki sistem Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) bermula 1 Januari tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut bagi menangani kes kemalangan jalan raya khususnya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

"Kita mulakan dengan menjadikan penunggang motosikal lebih selamat kerana 65 peratus daripada jumlah kematian jalan raya tahun lalu, membabitkan penunggang motosikal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024, di sini pada Isnin. Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Menurutnya, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati ABS berupaya mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 31 peratus.

“Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang berdepan isu ini, Walaupun kadar kematian per 100,000 orang menurun daripada 27 peratus pada tahun 2000 kepada 22.5 peratus pada 2019, ia tetap antara yang tertinggi di dunia.

"Kita dapati lebih daripada 6,000 kematian setiap tahun. Kubur-kubur ini bersamaan dengan keluasan enam padang bola," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mencadangkan agar skop Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP) dapat diperluaskan ke luar negara merangkumi rantau Asia dalam meningkatkan keselamatan motosikal.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, MyMAP telah menilai 28 model daripada tujuh pengeluar motosikal dan kesemuanya diberi penarafan bintang.

"Jadi sekarang anda boleh tahu motosikal mana, dari syarikat mana yang lebih selamat dan yang mana tidak,” katanya.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamtan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) bersetuju untuk menurunkan had laju daripada 40 kilometer per jam kepada 30 kilometer per jam di zon sekolah.

“Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi melaksanakan sistem pengurusan had laju ini seperti memasang palang atau bonggol bagi memperlahankan trafik di zon sekolah.

“Jika inisiatif ini berjaya mengurangkan kemalangan jalan raya di zon sekolah, kita mungkin mempertimbangkan untuk memperluaskannya di kawasan bersesuaian dalam bandar pula,” katanya.

Sementara itu, Anthony berkata, penyelarasan had laju di zon sekolah akan membabitkan beberapa kementerian, termasuk Kementerian Kerja Raya dan juga Kementerian Pendidikan.

"Jadi, kita akan mengambil masa sedikit untuk proses ini, namun begitu, saya ucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid kerana berani membuat keputusan tersebut yang mungkin tidak popular tetapi penting demi keselamatan anak-anak kita di sekolah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!