Tiada halangan kepada universiti untuk wujud fakulti AI - Zambry
KEPALA BATAS - Kementerian Pendidikan Tinggi tidak menghalang mana-mana universiti di negara ini untuk mewujudkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) sekiranya mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ia termasuk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang memohon untuk menubuhkan fakulti AI dan sains pengkomputeran kerana kewujudan fakulti dalam cabang baharu penting seiring dengan perubahan mengikut masa.
"Seperti yang kita sedia maklum, kita telah melancarkan fakulti AI sebelum ini di UTM (Universiti Teknologi Malaysia), namun kita tidak menghalang bagi universiti-universiti yang mempunyai kepakaran mereka di dalamnya untuk meneruskan.
"Hari ini seperti yang disyorkan UniMAP iaitu mereka ingin wujudkan fakulti AI dan sains komputer, maka kita tidak ada halangan untuk mereka meneruskan fakulti itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Global Trends in Engineering, Science and Technology Congress 2024 (GTEST2024) di sini pada Isnin.
Zambry juga berkata, pewujudan fakulti AI mencerminkan komitmen universiti untuk melabur dalam infrastruktur penyelidikan revolusi dan menyokong projek antara disiplin.
Beliau juga menekankan kepada universiti di negara ini supaya mempunyai program tersendiri yang bertaraf antarabangsa kerana ia antara elemen penting dalam dasar pendidikan tinggi negara sekali gus akan meletakkan universiti di posisi terbaik di dunia.
Mengulas sama ada kementeriannya bercadang membuat saringan terhadap pelajar luar negara susulan virus cacar monyet (mpox), Zambry berkata, pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuat sebarang langkah berkaitan penyakit itu.
"Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah memaklumkan dalam Mesyuarat Kabinet tentang langkah-langkah yang telah dibuat.
"Saya serahkan kepada pihak KKM untuk memaklumkan langkah-langkah yang dilakukan dan sekiranya perkara (mpox) terus berleluasa, tentunya menteri berkenaan akan membuat pengumuman,” katanya.
Sebelum ini, KKM memaklumkan 33 kes disyaki mpox telah dilaporkan di fasiliti kesihatan sejak awal tahun dan daripada jumlah itu, 32 kes disahkan negatif manakala satu kes lagi masih menunggu keputusan makmal.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!