Yusof Haslam tidak patah semangat

Yusof percaya sekiranya sesebuah karya itu melalui strategi pemasaran yang tepat, ia pasti akan mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Yusof percaya sekiranya sesebuah karya itu melalui strategi pemasaran yang tepat, ia pasti akan mendapat sambutan yang memberangsangkan.
A
A
A

BIARPUN filem terbitannya, Sheriff: Narko Integriti gagal mendapat sambutan di negara jiran, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat pengasas Skop Production, Datuk Yusof Haslam.

Menurut figura berusia 70 tahun itu, beliau percaya sekiranya sesebuah karya itu melalui strategi pemasaran yang tepat, ia pasti akan mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Malah Yusof turut mengambil contoh kejayaan filem Munafik, arahan anaknya, Syamsul sebelum ini yang berjaya mencatat kutipan RM5 juta di pasaran Indonesia.

"Filem Munafik ketika itu hanya ditayangkan di 100 buah pawagam kecil di Indonesia dan berjaya mengaut RM5 juta, walaupun pada asalnya pihak pengedar sasarkan untuk tayangan 400 buah pawagam dengan kutipan RM20 juta.

"Jadi saya tidak bersetuju untuk katakan filem kita tidak dapat sambutan di sana. Justeru ia membuatkan saya tidak luntur semangat untuk terus mencuba dengan perancangan lebih teliti untuk karya-karya kami selepas ini," ujarnya.

Yusof berkata demikian ketika ditemui pada majlis doa selamat Sheriff: Narko Integriti di Felda D’Saji di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yusof bersama Syafiq yang juga pengarah Sherif: Narko Integriti.
Yusof bersama Syafiq yang juga pengarah Sherif: Narko Integriti.

Sebelum ini, pengarah Sheriff: Narko Integriti, Syafiq berkongsi di media sosial mengenai kegagalan filemnya mendapat sambutan di Indonesia sejak mula ditayangkan di 100 pawagam bermula 23 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Syafiq senada dengan bapanya iaitu untuk tidak berputus asa bagi membawa karya-karyanya masuk ke Indonesia selepas ini.

Mengulas lanjut mengenai kegagalan filem Sheriff: Narko Integriti menawan hati peminat filem di sana, Yusof mengakui ada beberapa kesilapan strategi pemasaran yang dikenal pasti menjadi punca.

Malah beliau berpendapat, filem itu berpotensi bersaing di pasaran negara jiran sekiranya kaedah penjualan dirancang dengan betul dan teliti.

“Saya akui, memang ada kesilapan. Kita terus tayang selepas sesi pratonton. Agak mengejut dan di situlah silapnya.

“Ramai penulis blog di Indonesia menyatakan filem itu bagus. Cuma bagi mereka, mungkin strategi (pemasaran) tidak betul.

“Di Hong Kong, kami berjaya kutip kira-kira RM500,000,” katanya.

Dalam masa sama, Yusof tidak menolak untuk menghasilkan sekuel Sheriff tahun hadapan dan semua itu terpulang kepada penulis skrip dan pengarah iaitu anaknya, Syafiq.

Sheriff: Narko Integriti kini merupakan filem kedua yang mencatat kutipan tertinggi di Malaysia, menampilkan gandingan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan dan ramai lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!