Pegawai kanan polis didakwa ugut dua kontraktor
KUALA LUMPUR - Seorang pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Isnin atas pertuduhan mengugut dua individu dengan menghantar gambar pembunuhan kejam seorang lelaki menggunakan aplikasi WhatsApp, lima bulan lepas.
Deputi Superintenden K K Ravindhran, 52, didakwa atas dua pertuduhan membuat ugutan jenayah itu terhadap dua kontraktor elektrik masing-masing berumur 42 dan 50 tahun dengan menghantar gambar yang menunjukkan seorang lelaki dibunuh dengan kejam menerusi aplikasi WhatsApp melalui satu nombor telefon.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Pandan Indah dan di Stesen LRT Cahaya pada jam 7.57 malam dan jam 7.58 malam, 27 April.
Pegawai polis berkenaan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan berdepan dengan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Majistret Normaizan Rahim dan Majistret Amalina Basirah Md Top kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 serta syarat tambahan dia perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan sebutan bagi dua kes itu pada 16 Oktober ini untuk serahan dokumen.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal dan Norhidayah Abdullah Sani manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!