'A Mother's Touch' kongsi kehidupan profesor kurang upaya

Filem berdurasi dua jam itu kini boleh ditonton di platform penstriman video Malaysia, Tonton.
Filem berdurasi dua jam itu kini boleh ditonton di platform penstriman video Malaysia, Tonton.
A
A
A

'A Mother's Touch', sebuah filem Jepun berdasarkan kisah hidup seorang profesor pekak buta Satoshi Fukushima dan ibunya, ditayangkan di Negara Matahari Terbit itu pada 2022.

Sekalipun tidak meraih keuntungan komersial, filem itu berjaya menyentuh perasaan penonton, membuatkan mereka ingin tahu lebih mendalam tentang lelaki yang berjaya "menguasai" dunianya yang gelap dan terasing dengan membina laluan baharu untuk diri sendiri.

Filem arahan Jumpei Matsumoto itu dibawa ke Malaysia untuk tayangan khas pada 11 Mei lalu, bersempena dengan sambutan Hari Ibu, menerusi kerjasama Japan Foundation Kuala Lumpur, Golden Screen Cinemas serta Media Prima Bhd, dan turut dihadiri penerbitnya Tafakumi Yuki serta penulis skrip lakon layar Tomohiro Yokomaku.

Kini, filem berdurasi dua jam itu boleh ditonton di platform penstriman video Malaysia, Tonton.

'A Mother's Touch' berkisar tentang perjalanan hidup Fukushima dalam mencari erti sebenar kehidupannya di sebalik kekurangan diri serta ketabahan ibunya membantu perjuangan Fukushima meruntuhkan tembok halangan demi halangan demi mencapai matlamatnya.

Watak Fukushima dilakonkan oleh Taketo Tanaka sementara watak ibunya, Reiko, dimainkan oleh Koyuki Kato yang dikenali menerusi lakonannya dalam filem Hollywood 'The Last Samurai'.

'A Mother's Touch' berkisar tentang perjalanan hidup Fukushima dalam mencari erti sebenar kehidupannya di sebalik kekurangan diri serta ketabahan ibunya membantu perjuangan Fukushima
'A Mother's Touch' berkisar tentang perjalanan hidup Fukushima dalam mencari erti sebenar kehidupannya di sebalik kekurangan diri serta ketabahan ibunya membantu perjuangan Fukushima

Fukushima hilang penglihatan semasa masih kanak-kanak disebabkan oleh jangkitan mata dan hilang pendengaran ketika berusia 18 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Filem ini berdasarkan kejadian dan individu sebenar, walaupun ada sesetengah babak merupakan fiksyen bagi digemblengkan dalam pengkisahan," Yokomaku memberitahu Bernama, dan menambah Matsumoto yang mengarahkan filem itu merupakan kenalan Fukushima.

"Kami menghadiri satu ceramah beliau dan berpeluang bertemu dengan beliau serta ibunya, dan dari situlah bercambahnya idea untuk menghasilkan filem ini," kongsinya lagi.

Antara momen yang menyerlah dalam filem itu ialah babak Fukushima dan ibunya membangunkan 'Yubitenji' atau Braille Jari, satu pencapaian besar dalam komunikasi bagi golongan pekak buta.

Menggunakan jari-jemari bagi meniru papan kekunci Braille, Fukushima dan ibunya menjadi perintis dalam pewujudan komunikasi sentuhan.

Dalam kehidupan sebenar, misi Fukushima ialah menambah baik kesejahteraan dan kehidupan golongan kurang upaya. Beliau merupakan individu pekak buta pertama di dunia yang menjadi pensyarah universiti sepenuh masa serta terlibat dalam kajian pekak buta dan kurang upaya di Research Centre for Advanced Science and Technology, University of Tokyo.

Beliau juga merupakan pelajar pekak buta pertama yang diterima masuk ke Tokyo Metropolitan University, sebuah universiti berprestij di Jepun.

Fukushima juga merupakan wakil rantau Asia di World Federation of the Deafblind selama lima penggal hingga Oktober 2022. Pada 2003, namanya tercatat dalam senarai Asian Heroes Time Magazine. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!