Pencinta haiwan risau keadaan kucing terkurung, lemah
KLANG - Pencinta haiwan resah melihat kucing yang ditempatkan di Taman Kucing Klang seolah dianiaya apabila berada dalam keadaan lemah dan terkurung.
Seorang pengguna aplikasi X berkongsi beberapa video memaparkan situasi di lokasi tersebut pada Ahad.
Menerusi ciapan, pengguna itu memberitahu penubuhan pusat itu bertujuan melindungi haiwan berkenaan namun keadaan di lokasi tidak menggambarkan situasi demikian.
"Taman Kucing Klang merupakan tapak perlindungan baharu dibina oleh pemaju dan diuruskan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
"Hasrat penubuhannya bagi mewujudkan taman ini sebagai tempat selamat dan penuh kasih sayang untuk kucing namun apa yang dilihat adalah sebaliknya," menerusi hantaraan dibuat pada Ahad.
Difahamkan taman itu telah beroperasi selama dua minggu sejak 18 Ogos lalu dengan puluhan kucing ditempatkan di dalam pusat tersebut.
Perkongsian itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial yang memohon penjelasan lanjut daripada MBDK tentang situasi sebenar di lokasi terbabit.
"Apa berlaku di sini, tiada pekerja ke @AmirudinShari @MBDKlang @ganabatirau1," menurut pengguna, Azam Ramli.
"Kucing ini lapar ke, nampak lapar dan sakit. Kesiannya," komen Diena Hanie.
"Boleh ke kucing-kucing ini dibawa balik sebab terbiar?," komen Niratma.
Sementara itu, Datuk Bandar Klang, Datin Paduka Noraini Roslan menafikan berlaku sebarang penindasan, pengabaian dan penganiayaan di Taman Kucing Klang seperti yang ditularkan.
Beliau memandang serius dakwaan berkenaan dan berpuas hati dengan tahap kebersihan serta keselesaan di kawasan itu selepas tinjauan dibuat pada Isnin.
Menurutnya,beberapa penambahbaikan akan dilakukan segera oleh MBDK dibantu Sime Darby dalam masa terdekat bagi keselesaan kucing-kucing di sana.
“Saya menghargai keprihatinan orang awam dalam isu ini, namun beberapa perkara yang ditularkan adalah tidak benar sama sekali terutama kucing-kucing didakwa dalam keadaan lapar dan terbiar.
“Malahan dakwaan terdapat kematian kucing dalam jumlah banyak juga tidak benar. Hanya seekor sahaja yang mati (itu pun diletakkan di luar taman oleh individu tidak dikenali) selepas saya sendiri mengadakan tinjauan bersama Sime Darby pada Isnin, ” katanya.
Noraini berkata, MBDK akan memasang jaring bagi mengelakkan keadaan panas selain binaan anjung bagi keselesaan kucing-kucing serta memberi perhatian terhadap penjagaan pemakanan.
“Kita merancang untuk mengadakan kerjasama dengan sukarelawan-sukarelawan yang berminat dalam penjagaan kucing memandangkan sokongan masyarakat terhadap Taman Kucing ini begitu positif dan membanggakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!