Pelbagaikan penyampaian maklumat mengenai rasuah menerusi seni, budaya

Gimik persembahan bertajuk Cuci Rasuah yang menjadi tumpuan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini juga menampilkan kelainan tersendiri dari segi penyampaian mesej anti rasuah kepada masyarakat secara besar-besaran. Gambar kecil: Zairudin
Gimik persembahan bertajuk Cuci Rasuah yang menjadi tumpuan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini juga menampilkan kelainan tersendiri dari segi penyampaian mesej anti rasuah kepada masyarakat secara besar-besaran. Gambar kecil: Zairudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kaedah penyampaian maklumat atau kempen kesedaran berhubung rasuah boleh dipelbagaikan melalui pendekatan lebih interaktif termasuk menerusi seni serta budaya.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, antara alternatif boleh digunakan contohnya menerusi lagu, animasi, drama pendek atau filem.

Ujar Zairudin, gimik persembahan bertajuk Cuci Rasuah yang menjadi tumpuan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini juga menampilkan kelainan tersendiri dari segi penyampaian mesej anti rasuah kepada masyarakat secara besar-besaran.

“Dengan lirik yang senang difahami, ia memudahkan masyarakat terbanyak untuk menyebar dan memahami kempen membanteras rasuah sedari usia tunas.

“Kejayaan memerangi rasuah bergantung pada adanya institusi yang berani, kuat, telus, berkesan dan bertanggungjawab pada semua peringkat, yang menjunjung kedaulatan undang-undang tanpa dibayangi oleh kepentingan politik serta mereka yang berkepentingan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sifatkan tarian ‘Cuci Rasuah’ yang dipersembahkan pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya sebagai yang terbaik.

Persembahan tarian Cuci Rasuah merupakan sumbangan idea terakhir Pengarah Artistik dan Konsep bagi sambutan Hari Kebangsaan, Rosnan Nordin, dijayakan 515 warga Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), diiringi medley beberapa lagu patriotik yang disingkatkan menjadi muzik berentak rancak dan diikuti lagu baharu bertajuk ‘Cuci Rasuah’ hasil tulisan Rosnan bersama komposer Anuar Abdul Razak.

Ulas Zairudin, suatu pendekatan menyeluruh dan holistik yang mencakup seluruh negara dan keberanian bertindak semua pihak amat diperlukan dalam usaha memerangi rasuah dengan lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pendekatan literasi pendidikan, pencegahan dan hukuman yang berat terhadap jenayah rasuah perlu diseimbangkan.

“Justeru, semua pihak perlu memastikan anak-anak didedahkan tentang bahaya dan jijiknya rasuah, sedari usia tunas.

“Laporan mesti dibuat sekiranya masyarakat melihat rasuah dilakukan. Hukuman yang berat mesti dijatuhkan kepada mereka yang memberi dan menerima rasuah,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!