Mara Negeri Sembilan sasar 596 usahawan terima kemudahan pembiayaan

Jalaluddin (kir) berkesempatan beramah mesra dengan indvidu terlibat sebaik selesai Majlis Perasmian Penutup Program Pemerkasaan Wanita 2024 pada Isnin.
Jalaluddin (kir) berkesempatan beramah mesra dengan indvidu terlibat sebaik selesai Majlis Perasmian Penutup Program Pemerkasaan Wanita 2024 pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Amanah Rakyat (Mara) Negeri Sembilan menyasarkan 596 usahawan menerima kemudahan pembiayaan daripada agensi itu tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM23 juta.

Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia melibatkan 16 skim pembiayaan perniagaan serta tiga geran padanan kepada usahawan Melayu dan Bumiputera.

"Sehingga 30 Ogos lalu, seramai 184 usahawan telah menerima kemudahan Mara dengan nilai RM21.5 juta.

"Selain daripada kemudahan berbentuk kewangan, Mara juga menyediakan sebanyak 442 unit premis perniagaan di seluruh Negeri Sembilan pada kadar sewaan yang berpatutan," katanya pada Majlis Perasmian Penutup Program Pemerkasaan Wanita 2024, di sini pada Isnin.

Jalaluddin (enam dari kanan) ketika hadir merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Pemerkasaan Wanita 2024 pada Isnin.
Jalaluddin (enam dari kanan) ketika hadir merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Pemerkasaan Wanita 2024 pada Isnin.

Menurutnya, berdasarkan rekod sehingga Ogos 2024, usahawan wanita yang menyewa di premis Mara adalah seramai 171 orang atau 38 peratus daripada keseluruhan lot premis yang disediakan.

"Seramai 72 lagi usahawan wanita telah memperolehi kemudahan pembiayaan dengan nilai berjumlah RM8.5 juta. Ini menunjukkan bahawa wanita juga adalah antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.

"Usahawan wanita bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, sebaliknya mereka juga membawa perspektif dan inovasi yang segar, serta berdaya saing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keupayaan wanita untuk seimbangkan tanggungjawab keluarga dengan cabaran dalam perniagaan adalah satu contoh ketabahan dan dedikasi yang perlu dipuji.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Jalaluddin turut melahirkan rasa kesal apabila terdapat segelintir usahawan berkenaan menyalahgunakan pembiayaan kewangan daripada agensi terlibat.

"Kita ada mengesan usahawan ini menggunakan pembiayaan itu bukan untuk tujuan perniagaan sekali gus menyebabkan ada di antara mereka gagal membuat pembayaran yang ditetapkan.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia menyebabkan perniagaan berkenaan sukar untuk berkembang bahkan terpaksa berdepan disenarai hitam dalam semua agensi yang menawarkan pinjaman,"katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!