Iglaho senjata baharu United
SELEPAS mendapatkan khidmat pemain tengah kreatif, Bruno Fernandes, Manchester United memperkenalkan Odion Iglaho sebagai seorang lagi muka baharu The Red Devils sebelum jendela perpindahan ditutup secara rasmi kelmarin.
Pemain kebangsaan Nigeria itu tiba di Old Trafford untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Marcus Rashford yang mengalami kecederaan dan bakal diketepikan selama dua bulan.
Kehadiran Iglaho yang pernah beraksi bersama Watford sebelum dia berkelana ke China pada 2017 dilihat bakal membantu kembali memperkuatkan jentera serangan United ekoran ketiadaan Rashford.
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menganggap Ighalo sebagai 'pemain yang hebat dan profesional' selepas The Red Devils melengkapkan perpindahan penyerang kelab Liga Super China (CSL), Shanghai Shenhua itu secara pinjaman.
"Odion adalah pemain yang berpengalaman. Kehadirannya akan memberi kami lebih pilihan di barisan serangan. Ketiadaan Marcus yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan nyata memberi kesan.
"Saya berharap dia dapat memanfaatkan setiap masanya di sini. Saya juga mahu dia membuktikan sesuatu kepada pihak pengurusan kelab kehadirannya di sini mampu menjelmakan keputusan positif buat pasukan," katanya.
Difahamkan, United telah selesai menandatangani perjanjian dengan Shanghai Shenhua untuk membawa masuk Iglaho dengan nilai 3 juta pound (RM16.2 juta) selain turut membayar 100,000 pound (RM540,000) seminggu kepada pemain berusia 30 tahun itu.
Selain masalah kecederaan Rashford, Solskjaer kini makin terdesak mendapatkan penyerang baharu selepas kehilangan Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez yang menyertai Inter Milan pada musim panas lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!