Perkasa integriti pegawai penguat kuasa

Ahli Pesuruhjaya EAIC, Datuk Seri Dr Yusoff Ismail (empat,kiri) dan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub (empat,kanan) dalam pertemuan pada Isnin.
Ahli Pesuruhjaya EAIC, Datuk Seri Dr Yusoff Ismail (empat,kiri) dan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub (empat,kanan) dalam pertemuan pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mengawal selia 20 agensi penguat kuasa negara, menjalinkan kerjasama strategik dengan Rasuah Busters dalam usaha membina asas kukuh dalam memerangi salah laku, penyelewengan dan memperkukuh integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa.

Ahli Pesuruhjaya EAIC, Datuk Seri Dr Yusoff Ismail berkata, kerjasama tersebut merangkumi program pendidikan yang akan dilaksanakan di pelbagai peringkat, bermula dari sekolah rendah hingga sektor awam dan swasta ke arah mendidik masyarakat tentang pencegahan salah laku dan pembudayaan integriti yang tinggi.

Menurutnya, ia merupakan langkah penting dalam usaha EAIC memastikan pematuhan integriti dalam agensi penguatkuasaan khususnya di bawah seliaan suruhanjaya tersebut.

"Dengan berganding bahu bersama Rasuah Busters, EAIC komited untuk memupuk budaya integriti dan membanteras salah laku dengan lebih berkesan.

"Kami percaya bahawa melalui pendidikan, latihan, dan sistem yang lebih baik, kita dapat mencapai sistem penguatkuasaan yang lebih telus dan berintegriti," katanya dalam kenyataan selepas perjumpaan bersama Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Yusoff berkata, program yang dirancang meliputi pelbagai aktiviti termasuk bengkel, ceramah dan kursus interaktif yang disesuaikan dengan kumpulan sasaran berbeza.

Sehubungan itu, pihaknya bercadang menganjurkan forum bersama tentang kesedaran dan pendidikan yang bertujuan untuk mendidik pegawai penguatkuasa serta masyarakat tentang pentingnya integriti dan pencegahan rasuah.

"Forum ini akan melibatkan pembentang dari pelbagai latar belakang, termasuk pakar, pegawai kanan, dan aktivis anti-rasuah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hussamuddin mengalu-alukan gabungan kerjasama daripada EAIC sebagai sebuah badan dalam usaha penting memerangi rasuah.

Katanya, gabungan tersebut amat bermanfaat dan ia seharusnya menjadi satu lagi langkah proaktif gerakan rakyat yang dibawa oleh Rasuah Busters.

Beliau juga percaya gabungan kerjasama bersama EAIC adalah langkah mega yang mampu mendukung aspirasi sebagaimana dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

"Integriti adalah teras kepada sistem penguatkuasaan yang berfungsi dengan baik. Kami berharap kerjasama ini akan membantu memajukan amalan terbaik dan menyediakan platform yang kukuh untuk mencegah salah laku.

"Rasuah Busters akan melaksanakan pelbagai program bagi pengukuhan integriti dan pencegahan rasuah peringkat penguatkuasa yang turut melibatkan rakan-rakan Rasuah Busters lain agar kita dapat memperbaiki ekosistem negara daripada pelbagai peringkat,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!