Suami isteri ditahan bersama 6.3kg dadah bernilai hampir RM800,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah pelbagai jenis seberat 6.3 kilogram (kg) bernilai RM768,000 dalam satu serbuan di Taman Permint Jaya Fasa 4, Jalan Kubang Ikan, di sini semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, serbuan di rumah suspek itu dibuat kira-kira jam 1 tengah hari oleh sepasukan anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

"Hasil serbuan ke atas rumah pasangan suami isteri itu polis menemui 5.7 kg pil yaba dan 631.9 gram erimin 5 yang disimpan dalam sebuah bilik.

"Turut disita kereta Volkswagen Golf GTI 2.0, Honda Jazz S, motosikal Yamaha RXZ, dua motosikal Yamaha Y15ZR, motosikal Honda Vario, gelang dan cincin emas serta helmet Shoei J-Force ll dengan nilai keseluruhan RM284,700 dan wang tunai RM79,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, suspek lelaki yang berusia 34 tahun dan wanita yang berumur 37 tahun itu dipercayai mula aktif mengedar dadah untuk pasaran negeri ini sejak awal tahun lepas.

Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan risikan selama dua bulan bagi mengumpul bukti dan mengenal pasti modus operandi sebelum serbuan dilaksanakan.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek berasal dari negeri ini. Suspek wanita tidak bekerja manakala suspek lelaki mempunyai perniagaan keluarga.

"Pasangan suami isteri itu akan direman tujuh hari bermula hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairi berkata, siasatan lanjut terhadap semua harta suspek akan diteruskan untuk dilucut hak bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket tersebut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!