AKE-UiTM jalin kerjasama transformasi pendidikan awal kanak-kanak

Shahrin (dua dari kiri) dan Bakhtiar Aliff (dua dari kanan) bertukar dokumen MoU pada Isnin. -FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Shahrin (dua dari kiri) dan Bakhtiar Aliff (dua dari kanan) bertukar dokumen MoU pada Isnin. -FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat pendidikan, Al Kauthar Eduqids Sdn Bhd (AKE) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjalinkan kerjasama strategik dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) buat julung kalinya dalam usaha mentransformasikan pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.

Inisiatif tersebut digerakkan di bawah seliaan Pusat Pengajian Luar (iCEPS) UiTM selaku tonggak utama dalam merealisasikan kerjasama berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif AKE, Datuk Dr Bakhtiar Aliff Ibrahim berkata, pihaknya berhasrat untuk memfokuskan kecemerlangan dalam bidang pendidikan dan penyelidikan misalnya pertukaran tenaga pengajar atau kakitangan, pembangunan sijil profesional buat guru tadika dan taska serta kursus latihan peningkatan kemahiran.

Menurutnya, ia juga berupaya meningkatkan kesedaran awam dalam kalangan ibu bapa mengenai perkembangan anak masing-masing menerusi latihan yang disediakan di pusat-pusat pendidikan.

Shahrin (kiri), Bakhtiar Aliff - FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Shahrin (kiri), Bakhtiar Aliff - FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Selain itu, inisiatif ini turut memberi peluang kepada pelajar sarjana muda atau pasca siswazah dari AKE dan UiTM untuk memperluaskan pengalaman mereka dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

“Berbekalkan pengalaman selama 10 tahun, kami akan terus komited dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi untuk kanak-kanak di peringkat awal.

“Kami juga akan menyediakan geran penyelidikan khas sebanyak RM50,000 di beberapa fakulti berkaitan untuk golongan akademik melakukan kajian dalam bidang ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Menandatangani MoU bertempat di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi AKE, Datin Dr Nor Fadilah Alias; Ketua Eksekutif iCEPS, Profesor Dr Faizah Abd Majid; pengusaha AKE iaitu Kamal Faridz Mohamad Noor, Nalira Mohd Azmee dan Anis Nor Tajul Arus

Al Kauthar Eduqids ditubuhkan pada 2013 lalu dan kini mempunyai 235 cawangan di seluruh negara, berpangkalan di Lembah Klang.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib memaklumkan, pihaknya amat bersyukur kerana kerjasama terbabit mampu membawa perubahan positif dalam landskap pendidikan negara.

Tambahnya, ia bukan sahaja menumpukan aspek pengetahuan dan kemahiran dalam urusan seharian, malah turut menekankan perkembangan psikologi serta emosi kanak-kanak.

“UiTM optimis bahawa kerjasama ini akan menghasilkan generasi yang bukan sekadar cemerlang dalam bidang akademik, tetapi seimbang dari segi sahsiah dan emosi.

“Semoga MoU yang termeterai menjadi batu loncatan kepada lebih banyak kerjasama strategik pada masa akan datang agar ia dapat memberikan kemajuan dan sumbangan kepada masyarakat,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!