Lelaki maut nahas empat kenderaan

Seorang lelaki maut apabila terbabit dalam nahas melibatkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 18, Jalan Lipis-Benta berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Benta di sini, pada Isnin. Foto ihsan PDRM
Seorang lelaki maut apabila terbabit dalam nahas melibatkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 18, Jalan Lipis-Benta berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Benta di sini, pada Isnin. Foto ihsan PDRM
A
A
A

LIPIS - Seorang lelaki maut apabila terbabit dalam nahas melibatkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 18, Jalan Lipis-Benta berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Benta di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, empat kenderaan terlibat iaitu Proton Inspira, Perodua Kancil, Perodua Myvi dan Toyota Avanza.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, mangsa yang juga pemandu Proton Inspira, Amirul Islah Ibrahim, 31, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dalam perjalanan dari Melaka ke Gua Musang, Kelantan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Myvi berada di belakang kereta mangsa sebelum bertembung dengan Perodua Kancil dan Toyota Avanza yang datang daripada arah bertentangan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Kuala Lipis," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga pemandu Perodua Kancil dikejarkan ke hospital sama kerana mengalami kecederaan parah manakala pemandu dua kereta lain tidak cedera.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ismail memohon kerjasama mana-mana pihak yang memiliki maklumat berkaitan kejadian tersebut menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di talian 09-3121999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!