Shahrol Azral pindah wang 1MDB ke syarikat Jho Low dua kali - Peguam Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi mengikuti prosiding hujahan akhir pendakwaan kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi pada Isnin. Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi mengikuti prosiding hujahan akhir pendakwaan kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin diberitahu bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi telah memindahkan dana syarikat itu ke Good Star Ltd, syarikat dimiliki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, sebanyak dua kali.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, selepas transaksi pertama sebanyak AS$700 juta pada 2009, transaksi kedua melibatkan AS$330 juta pada 2011.

"Ini merupakan kali kedua Shahrol Azral memindahkan lagi AS$330 juta dana 1MDB ke Good Star.

"Jika pihak pendakwaan mencari bukti tentang sistem di 1MDB, mereka perlu melihat kepada saksi utama mereka sendiri, Shahrol Azral," katanya dalam hujahan pada akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sebelum ini, dilaporkan sejumlah AS$700 juta wang 1MDB dipindahkan ke Good Star pada 2009 melalui arahan Shahrol Azral dan transaksi kedua sebanyak AS$330 juta telah berlaku pada 2011.

Wang AS$330 juta itu adalah sebahagian daripada pengeluaran PetroSaudi International Ltd di bawah perjanjian pembiayaan Murabaha (MFA) dengan 1MDB.

MFA dimeterai antara kedua-dua pihak selepas menamatkan usaha sama mereka yang melibatkan 1MDB menyuntik wang tunai AS$1 bilion, dengan AS$700 juta dipindahkan ke Good Star.

Pada 2019, Shahrol Azral memberi keterangan bahawa beliau hanya mengetahui Good Star dikaitkan dengan Jho Low pada 2015.

Artikel Berkaitan:

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Najib didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, dan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Hujahan bersambung 10 September - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!