Kes bunuh, bakar empat sekeluarga: Mahkamah ketepi pembebasan lelaki OKU

Mahkamah Rayuan pada Isnin mengetepikan perintah pembebasan seorang lelaki OKU daripada tuduhan bunuh dan bakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat, Kuala Langat pada tahun 2017.
Mahkamah Rayuan pada Isnin mengetepikan perintah pembebasan seorang lelaki OKU daripada tuduhan bunuh dan bakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat, Kuala Langat pada tahun 2017.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Isnin mengetepikan perintah pembebasan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (pendengaran dan pertuturan) daripada tuduhan bunuh dan bakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat, Kuala Langat pada tahun 2017.

Sehubungan itu Kang Chang Heng, 45, diarahkan membela diri atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Tinggi.

Beliau juga diarah membela diri terhadap pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak berumur 11 tahun yang merupakan cucu kepada pasangan yang maut dalam kes berkenaan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Wong Kian Kheong turut membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membebaskan Kang daripada pertuduhan tersebut.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Che Mohd Ruzima berkata, pendakwaan telah berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Chang Heng, dan lelaki itu perlu membela diri untuk menjelaskan bagaimana beliau mendapat kecederaan melecur dalam kejadian itu.

Beliau berkata, keterangan yang diperoleh daripada kanak-kanak yang menjadi saksi, dan beberapa bukti sokongan menunjukkan rayuan pendakwaan mempunyai merit.

Dalam penghakimannya Che Mohd Ruzima berkata, Hakim Mahkamah Tinggi telah tersilap dalam membuat keputusan dengan menolak sepenuhnya keterangan saksi itu dan berpendapat keterangan saksi tidak boleh dinafikan hanya kerana dia di bawah umur.

Beliau seterusnya mengarahkan Chang Heng direman sehingga perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam selesai dan menetapkan 11 Sept sebagai tarikh pengurusan kes.

Artikel Berkaitan:

Seorang jurubahasa isyarat turut hadir di mahkamah hari ini semasa prosiding berlangsung.

Pada 19 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebas dan melepaskan Chang Heng daripada semua tuduhan tanpa perlu membela diri daripada semua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Chang Heng dituduh membunuh Chia Tee Nang, 73, isterinya Lim Mai Shak, 68, dan dua cucu lelaki mereka Chia Yuan Bin, 3 dan Ryan Chia Zeng Xi, 9, disebuah rumah di Tanjung Sepat, di Kuala Langat, Selangor antara jam 4 dan 5 pagi pada 13 Dis 2017.

Chang Heng turut dituduh menyebabkan kecederaan ke atas Andrew Chia Zeng Haol yang berusia 11 tahun, yang terselamat daripada kebakaran dicetuskan Kang pada masa dan tempat yang sama.

Chang Heng, pekerja kilang perabot ditahan pada 15 Disember 2017, dipercayai adalah teman lelaki kepada anak perempuan bongsu pasangan suami isteri yang terkorban, yang juga OKU pendengaran dan pertuturan.

Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Lim Chin Huat mewakili Chang Heng. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!