Nurulhidayah minta PDRM siasat dakwaan penipuan SD libat bapanya
SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan penipuan dalam Akuan Berkanun (SD) melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, ini kerana isu terbabit sering dijadikan alat untuk menyerang kredibiliti pemimpin atau menggugat sokongan politik.
Justeru, menurut Ketua Penerangan UMNO Bagan Datuk itu, siasatan pihak berkuasa amat penting bagi menegakkan keadilan dan maruah seorang pemimpin serta parti secara menyeluruh.
“Dakwaan penipuan dalam SD ini merujuk kepada situasi di mana beliau didakwa memberikan maklumat palsu atau tidak tepat dalam dokumen tersebut yang boleh memberi implikasi undang-undang.
“Kepercayaan rakyat terhadap sistem undang-undang bergantung kepada perilaku yang tidak memihak dan profesional melalui siasatan dijalankan.
“Semoga siasatan ini memberi keadilan untuk Ahmad Zahid yang sentiasa diundang kontroversi secara tidak langsung mengundang persepsi buruk terhadap kredibiliti beliau sebagai kepimpinan utama parti,“ katanya menerusi hantaran di Instagram pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Sinar Harian pada 1 September yang menyatakan bahawa Ahmad Zahid sedia disiasat berhubung dakwaan menipu dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika mengemukakan SD sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga berharap agar pihak berwajib termasuk Peguam Negara melakukan siasatan ke atas laporan yang dibuat berhubung dakwaan kes berkenaan.
Sementara itu, Nurulhidayah sempat mendoakan agar urusan Ahmad Zahid dipermudahkan dan berharap semoga individu yang menganiaya ayahnya mendapat balasan setimpal.
“Sebagai anak yang tidak sampai tahap solehah lagi dan tak pandai dalam adab berdoa, semoga ALLAH SWT melancarkan urusan abahku.
“Semoga mereka yang menganiaya abah mendapat balasan setimpal di dunia agar menjadi pengajaran buat mereka yang masih hidup dan bersubahat,“ ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!