Kerajaan tak ikhlas, kata Ahli Parlimen Pas

Nurul Amin Hamid (Laporan Sinar Harian pada Isnin.)
Nurul Amin Hamid (Laporan Sinar Harian pada Isnin.)
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid meluahkan rasa kesalnya dengan perkara-perkara yang terkandung dalam draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan ahli Parlimen pembangkang.

Beliau yang juga Exco Pemuda Pas mempersoalkan keikhlasan kerajaan melalui MoU itu memandangkan pada akhirnya peruntukan diterima digunakan untuk rakyat.

"Letak syarat macam-macam untuk rakyat dapatkan hak mereka, kena isytihar harta, kena sokong kerajaan sampai habis penggal Parlimen. Lihatlah wajah kerajaan hari ini, ikhlaskah mereka membantu rakyat?

"Atau masih tebal sentimen politik berselindung di sebalik tabir kuasa kerajaan untuk menekan pembangkang?" katanya di X pada Isnin.

Sementara itu, di Facebooknya juga Nurul Amin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu pernah menyebut sokong kerajaan bukan syarat untuk dapat peruntukan.

"Tetapi hari ini didedahkan tujuh syarat pihak kerajaan letakan dalam draf MoU untuk pembangkang bersetuju bagi menerima peruntukan antaranya menyokong kerajaan sehingga habis penggal dan mengiysyiharkan harta.

"Ingatlah, yang menjadi mangsa permainan dan helah politik ini adalah rakyat.Peruntukan parlimen itu adalah untuk manfaat rakyat yang majoriti mereka yang terkesan ialah Melayu Islam," ujarnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15 dan perkara berkaitan bangsa, agama dan raja (3R) antara tujuh syarat digariskan Kerajaan Perpaduan kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk mendapatkan peruntukan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, isu membabitkan pengisytiharan harta turut terkandung dalam draf memorandum persefahaman (MoU) tersebut, namun empat lagi tidak didedahkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!