'Tak nak minta MB Kedah, Perlis juga dicutikan?' - Akmal Saleh

Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dicutikan bagi memberi laluan kepada siasatan dibuat sehingga selesai.

Beliau berkata, cadangan pemimpin tertinggi Pas itu sepatutnya diutarakan kepada ahli Pas dan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu, bukannya parti lawan.

“Sebelum minta Ahmad Zahid dicutikan, tak nak minta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atau Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dicutikan juga kah?

“Masing-masing pun ada kes yang disiasat dan sedang didakwa di mahkamah... Ke dekat orang lain boleh, tetapi geng sendiri tak boleh?

“Satu lagi, setuju ke dengan kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri lepas? Sila jawab persoalan ini dulu,“ katanya.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim berpandangan siasatan terhadap Presiden UMNO tersebut perlu dibuat secara menyeluruh mengikut undang-undang dan tiada unsur paksaan.

Jelasnya, persoalan utama ketika ini adalah jaminan hasil selepas siasatan sedangkan 47 kes melibatkan Ahmad Zahid boleh ditarik semula.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Muhammad Sanusi kini berdepan dua tuduhan menghasut dan didakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor serta penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Mohd Shukri pula disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam projek pembangunan di negeri berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!